SIAPA sangka, niat suci seorang ayah yang mahu menggembirakan si bongsu bertukar menjadi mimpi ngeri yang merobek hati seluruh keluarga.
Difahamkan, kenderaan pacuan empat roda yang membawa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari Felda Redong menuju ke bandar Segamat untuk membeli mainan.
Dalam nada sebak, anak sulung daripada empat adik-beradik, Muhammad Zikri, menceritakan detik kejadian bapanya cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapan.
Akibatnya, kenderaan yang dinaiki hilang kawalan lalu terbalik sebanyak tiga kali sebelum terjunam ke dalam gaung dalam.
Menurut pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Redong itu, dia berusaha merangkak keluar melalui tingkap yang pecah dan melambaikan tangan untuk meminta pertolongan.
Dalam masa sama, anak lelaki tunggal itu hanya mampu memandang sayu dua adiknya, Nur Atiya dan Nur Husna bersama ibunya, Nurain Farhana, yang menangis dan terperangkap di tempat duduk belakang.
"Kereta terjunam dalam gaung berpaya. Waktu itu, kami semua terdiam. Selepas terbabas, saya keluar dan ternampak adik (Nur Husna dan Nur Atiya) masih terperangkap di tempat duduk belakang.
"Ketika itu, mereka berdua dan emak menangis," luahnya.
Manakala bapanya, Mohd Fitri Md Said bersama seorang lagi adik perempuan, Nurin Insyirah, mengerang kesakitan.
"Ayah dan Nurin Insyirah tersepit di tempat duduk pemandu dan belakang. Saya hanya nampak kaki kanan ayah bergerak manakala adik hanya gerak tangan kiri dan kaki," kongsinya.
Kejadian yang berlaku di Jalan Labis-Segamat, dekat Kampung Kwongsai, Segamat petang Rabu itu menyaksikan si ayah dan anak perempuannya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mereka yang selamat mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang malam tadi selepas menerima rawatan. Manakala jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Redong petang ini.
Sementara itu, Muhammad Zikri sempat mengimbau kenangan terakhir bersama bapanya yang juga Imam Muda di Masjid Nurul Falah Felda Redong.
Arwah ayahnya sempat mengucapkan tahniah kerana menjadi juara pertandingan berzanji peringkat sekolah.
Malah, mereka sempat mengadakan sesi soal jawab agama ketika dalam perjalanan sebagai persediaan untuk pertandingan berzanji kedua yang akan berlangsung minggu hadapan.
"Ayah nak saya buat persiapan lebih kerana ada satu lagi pertandingan berlangsung minggu depan," katanya.
Sementara itu, kakak kepada arwah Mohd Fitri yang dikenali sebagai Rozy berkata, adiknya itu seolah-olah sedang mempersiapkan diri untuk 'perjalanan pulang' ke dunia abadi apabila menyuarakan hasrat untuk melepaskan beberapa jawatan yang disandangnya.
Antaranya, jawatan sebagai imam muda, Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Redong dan Sekolah Agama Felda Redong.
Sumber: Harian Metro