APABILA ditimpa musibah, ALLAH adalah sebaik-baik tempat bagi umat Islam untuk bergantung harap.
Bagi sesetengah orang, ada amalan tertentu yang menjadi pegangan dan diamalkan secara konsisten untuk tujuan tertentu, khususnya saat diuji dengan ujian hidup.
Begitu juga dengan pelakon dan penyanyi, Diana Rafar, yang sebelum ini pernah berkongsi zikir-zikir yang sering diamalkannya sebagai ikhtiar rohani.
Baru-baru ini, wanita berusia 43 tahun itu sebak apabila menerima satu mesej daripada seorang individu yang berterima kasih atas perkongsian bermanfaat tersebut sehingga membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya menerusi perkongsian di TikTok.
"Saya cuma nak bagitahu. Saya yakin dengan zikir yang akak kongsi. Hutang saya berpuluh-puluh ribu, orang gunakan saya. Saya dah tak tahu macam mana nak bayar, tapi ALLAH ada.
"Melalui satu cara akak, dengan sekelip mata hutang saya selesai. Terima kasih atas perkongsian akak. Saya menggigil, saya tak tahu nak berterima kasih macam mana.
"Saya hanya mampu hantar mesej saja pada akak. Semoga ALLAH balas semua kebaikan akak dan keluarga," kata individu tersebut.
'Zikir yang akak kongsi bantu saya lunas hutang.' Diana sebak, perkongsian ringankan beban orang lain
Iklan