TAKZIAH diucapkan buat keluarga Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, 49, yang kembali ke rahmatullah meninggal dunia kira-kira jam 2 petang tadi.
Memetik Berita Harian, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Sungai Long, Kajang selepas mengadu sakit dan sukar bernafas.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani proses bedah siasat dan dijangka akan dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan.
Difahamkan, menurut pembantu rumahnya, Allahyarham sudah dua minggu mengadu sakit-sakit badan dan sering meminta ditemani kerana takut tinggal sendirian.
Nama Raja Nurfatimah Mawar tidak asing lagi dalam dunia kewartawanan tanah air. Memiliki lebih 30 tahun pengalaman, Allahyarham memulakan kerjaya sebagai wartawan sambilan Biro BH Kuala Terengganu pada usia 18 tahun, sebelum ditawarkan jawatan wartawan Harian Metro (HM).
Sepanjang bertugas sebagai pengamal media, Allahyarham ditempatkan di beberapa unit termasuk berita, jenayah dan hiburan di Harian Metro dan Berita Harian.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Khalidah Tengku Bidin menerusi laman sosial Facebook berkongsi berita pemergian Allahyarham.
"Sahabat baik saya Raja Nurfatimah Mawar yang juga wartawan kanan di Berita Harian disahkan meninggal dunia beberapa jam yang lalu. Selamat jalan sahabat.
"Sekarang jenazah berada di rumah arwah di Sungai Long, sebelum dibawa ke hospital. Doakan dipermudahkan ya," titipnya.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan tanah air.
"Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Saya berdukacita menerima berita pemergian Raja Nurfatimah Mawar, Penolong Pengarang Berita Hiburan BH hari ini.
"Saya sampaikan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh keluarga Allahyarhamah, serta sahabat handai di BH.
"Allahyarham merupakan seorang pengamal media yang disegani oleh rakan-rakan dan kenalan seindustri.
"Pemergiannya satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan tanah air, khususnya dalam lapangan hiburan.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah," kongsinya.
Salam takziah buat keluarga Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar daripada SinarPlus. Al-Fatihah.
Sumber: Berita Harian, Facebook