BUKAN sekadar fabrik biasa! Tudung bawal bernilai RM70,000 yang ditempah khas pengasas Bawal Exclusive itu menjadi simbol kejayaan paling manis.
Mana tidaknya, tudung eksklusif bertatahkan Swarovski tersebut disarung penuh bangga oleh Haliza Maysuri selepas menang kes saman fitnah terhadap bekas pengedarnya baru-baru ini.
Tudung mewah itu bukan untuk menunjuk, sebaliknya menjadi lambang kekuatan dan harga diri seorang usahawan wanita yang mempertahankan maruah selepas jenamanya dicalar dengan dakwaan tidak berasas di media sosial.
Dalam perkongsian video pendek di platform Instagram miliknya, beliau menulis kapsyen seperti berikut:
“Dulu, mereka kata saya riak bila pakai tudung mahal. Hari ini, tudung ini menyambut kemenangan saman fitnah bernilai RM70,000,” tulisnya.
Menurut jutawan berusia 47 tahun itu, tudung berkenaan bukan semata-mata aksesori, sebaliknya lambang perjuangan dan kemenangan bermaruah.
Semuanya adalah titik peluh setelah 27 tahun membina jenama daripada bawah tanpa modal besar, tanpa pendidikan formal dalam perniagaan dan tanpa sebarang keistimewaan.
Kes saman itu juga katanya, bukan untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi untuk memberi pengajaran bahawa di sebalik diam seseorang, jangan disangka mereka tidak akan bangkit mempertahankan maruah.
Mahkamah turut mengarahkan pihak yang bersalah membayar RM70,000 ganti rugi dan melunaskan baki hutang bernilai RM570 selain memadam kenyataan fitnah serta diingatkan tidak mengulanginya.
Jangan jolok sarang tebuan
Bagi Haliza, tudung itu bukan sekadar simbol kemenangan tapi satu peringatan kepada sesiapa yang suka menyebarkan fitnah dan membuat tuduhan tanpa bukti di media sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa jenama Bawal Exclusive kini merupakan antara 10 jenama teratas rakan kongsi rasmi Swarovski di dunia sekali gus menjadi satu pencapaian yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Saya tak minta puji, saya cuma fokus pada perniagaan tapi bila jenama saya dipijak, saya tak akan biarkan. Bawal Exclusive bukan jenama main-main," tegasnya lagi.