"DIA tak bercakap tapi dia tunjuk rindu dengan cara yang paling tulus."
Itulah luahan Hasmalina Ahmad, ibu saudara kepada pemuda bisu dan pekak yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini.
Lapor Sinar Harian, video Hafizi Hamdan, 25, yang menziarahi pusara ibunya dan membaca doa menggunakan bahasa isyarat bikin ramai sebak.
Dalam rakaman spontan yang dikongsi wanita berusia 40 tahun itu di platform TikTok, Hafizi dilihat berdiri di sisi kubur ibunya, Salawati Ahmad.
Dengan tangan diangkat penuh khusyuk dan memohon pada ALLAH dalam bahasa isyarat yang hanya dia dan ibunya selalu gunakan.
Tiada suara. Hanya isyarat tapi setiap gerakan penuh makna dan rindu.
“Saya, ibu dan Hafizi ziarah kubur arwah pada petang Khamis lalu. Masa nak balik ke kereta, saya ternampak dia masih membaca doa, saya pun rakam secara spontan,” kata pemilik akaun @Kaklangcafe itu.
Pemergian ibu Hafizi pada Ogos tahun lalu akibat kanser ovari, meninggalkan ruang yang besar dalam hidupnya.
Anak sulung daripada dua beradik itu kini tinggal bersama nenek dan membantu Hasmalina berniaga di kantin sekolah di Oakland, Seremban.
“Dia memang pekak dan bisu sejak kecil tapi sangat berdikari dan rajin. Malah, dia juga tak pernah lupa ziarah kubur arwah maknya, selalunya hari Jumaat,” kongsi Hasmalina.
Walaupun hanya berdurasi beberapa minit, video tersebut meraih hampir 2 juta tontonan dan ribuan komen netizen yang rata-rata tersentuh hati.
Ramai yang sebak, tidak kurang yang berkongsi kisah sendiri. Bahkan, ada juga yang mula lebih menghargai ibu bapa selepas menonton.
“Ada yang komen negatif tapi saya tak ambil hati. Saya kongsi pun suka-suka,” ujarnya.
Komen netizen membanjiri ruangan video dengan doa, harapan dan empati. Antara yang menyentuh hati:
"Dia cakap dia sayang ibu dia, suruh jaga diri…" - @Ardideeee
"Saya pernah ajar anak-anak PPKI masalah pendengaran. Tak reti mana tapi faham apa anak ni beritahu kat mak dia." - @WildanSyurga
"Saya doakan abang ni boleh berbual sempurna dengan ibu dia di akhirat nanti... Amin." - @BapakAisyAariz
"Mak saya masih hidup tapi duduk jauh… Baru saya sedar, tak semua orang ada peluang nak peluk mak setiap hari…" - @shira_
Hasmalina berharap, tularnya video ini dapat membuka mata masyarakat terhadap insan OKU yang walaupun terbatas dari segi komunikasi, tetapi kasih sayang mereka tetap luar biasa.
"Masa rakam ni, dia sebenarnya masih ‘berborak’ dengan arwah. Tak nak balik. Selalu macam tu. Kalau rindu, dia datang ziarah dan bersihkan kubur,” katanya lagi.
Tak cukup dengan itu, netizen terus mendoakan Hafizi agar terus kuat dan kasihnya pada ibunya terus mengalir dalam doa paling jujur.