MEWAHNYA hidup! Siapa sangka, seekor kucing boleh mendapat layanan setaraf VVIP bila diraikan di sebuah butik jenama terkemuka dan terima hadiah ratusan ribu ringgit.
Kisah Money yang merupakan kucing peliharaan jutawan tudung ini bikin ramai teruja apabila dihadiahkan kereta mahal berupa BMW i7 dan rantai emas.
Bagi Haliza Maysuri yang memiliki dua anak bulus iaitu Money dan Aspen itu beranggapan, ‘mereka’ bukanlah teman manja semata-mata tapi pembawa rezeki, penghibur dan simbol kasih sayang.
Bukan sekadar kata-kata, usahawan tersebut membuktikan dengan cara luar biasa. Sempena sambutan hari jadi kucing kesayangannya, 'mereka' dihadiahkan mangkuk makanan khas bernilai RM11,000.
Menurut Haliza, Money mempunyai perangai macam ‘manusia’ yang mana jenis kuat cemburu kalau tidak diberi perhatian atau hadiah, tapi sangat ceria kalau diraikan.
Bahkan, Money pernah dijemput untuk menyambut hari lahirnya di butik Louis Vuitton, satu penghormatan yang jarang sekali diberikan kepada haiwan peliharaan.
“Pihak LV sendiri beritahu, Money ada aura tersendiri. Mereka nak dia bantu promosi beg khas untuk haiwan peliharaan," jelas Haliza lagi.
Rata-rata warganet yang mengikuti perkongsian tersebut berseloroh dan terhibur dengan gaya hidup mewah kucing wanita berkenaan yang disamakan seperti ‘anak datin’ lengkap dengan sambutan hari jadi di butik eksklusif.
“Macam nak tunjuk kereta baru ja ni, tapi kucing yang kena bahan.” – @finn_amin
“Saya tengah imagine kucing bawa kereta…” – @_.Reen
“Baru aku tahu kucing sekarang dah pandai bawa kereta mewah.” – @MsNeyra
“Nanti ambilkan lesen memandu!” – @user9712393809569
Namun di sebalik gurauan, ada juga suara-suara yang meluahkan harapan agar kekayaan yang dikecapi dapat dikongsi bersama mereka yang lebih memerlukan.
“Mohon puan berikan bantuan buat anak-anak bulus yang terbiar serta shelter-shelter yang ada di Malaysia ini. Semoga dimudahkan urusan.” – @Sheera89
“Sedekah kepada orang susah dan anak yatim puan.” – @Halimah Harun
“Alangkah baiknya kalau rezeki itu dibahagi dengan insan-insan yang sangat memerlukan.” – @zurieraf
Tak kurang juga yang mencemburui ‘nasib baik’ si Money dan Aspen yang hidup bagaikan selebriti.
“Saya pun nak jadi anak bulu jugaklah.” – @E R I N F A U Z I
“Beruntungnyaaaa si bulus…” – @izzaalza906
“Saya mampu tengok je…” – @CikLa
Namun, tidak kurang juga yang mendoakan kejayaan Haliza agar terus memberi inspirasi dan membawa manfaat.
“Semoga menjadi inspirasi buat mereka yang berfikiran positif. Saya suka betul tengok orang-orang yang berjaya dan kaya raya.” – @Y U L Z U L A I K H A
“Moga akak kaya dan lebih kaya dunia akhirat… Aamiin.” – @Nur_Bee
“Semoga makin-makin kaya puan. Aamiin.” – @Rohani Othman
Ada yang bergurau tentang harga dan gaya hidup kucing itu. Namun satu yang pasti, kisah Haliza dan dua ‘anak bulusnya’ ini berjaya menyentuh hati ramai.
Rezeki saat sakit disihir
Jika Money diraikan dengan gaya hidup tak ubah seperti bintang, kisah Aspen pula lebih menyentuh hati.
Dalam satu perkongsian penuh emosi, Haliza mengimbas kembali bagaimana kucing itu hadir di saat hidupnya sedang diuji hebat ketika pandemik COVID-19.
Dalam tempoh getir tersebut, Aspen hadir sebagai cahaya harapan dan peneman setia yang menceriakan hari-hari suram.
Walaupun datang dalam keadaan sakit dan terbiar, kasih sayang Haliza menjadikan Aspen kembali sihat sekali gus menjadi sumber kekuatan.
Malah, Haliza turut berkongsi bahawa kehadiran Aspen turut membawa limpahan rezeki yang tidak disangka-sangka. Konten media sosialnya yang menampilkan telatah comel kucing itu sering menarik perhatian ramai.
Kini, Haliza kekal bersyukur atas kasih sayang yang diterima melalui anak-anak bulunya itu.