Mild autisme cemerlang 9A SPM, Ali Fahmi gapai cita-cita doktor veterinar. 'Kekurangan ini bukan alasan'

Iklan

DISAHKAN autisme ringan sejak kecil, Ali Fahmi Hasan Fahmi, 18, mungkin berdepan cabaran yang orang lain tidak nampak. 

Namun, siapa sangka, anak muda ini berjaya membuktikan kemampuan luar biasa apabila memperolehi keputusan cemerlang 9A dalam SPM 2024. 

Iklan
Iklan

Bukan itu saja, dia kini melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya apabila diterima masuk ke program Asasi Sains Putra di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menerusi portal rasmi UPM, anak tunggal dalam keluarga itu berkata, cabaran yang dimilikinya bukanlah satu halangan untuk mengejar impian untuk menggapai cita-cita sebagai doktor perubatan veterinar.

Iklan

“Pemilihan program serta universiti ini merupakan pilihan pertama saya kerana tidak jauh dari keluarga dan saya ingin mengejar impian saya sebagai doktor veterinar.

“Saya tahu bahawa UPM mempunyai reputasi yang baik dalam bidang sains pertanian dan veterinar,” ujarnya.

Iklan

Mengambil aliran Sains Tulen ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, impiannya untuk membantu haiwan yang sakit menjadi pembakar semangat sekali gus membuktikan bahawa cabaran bukan penghalang untuk berjaya.

“Saya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM dalam jurusan Sains Tulen dan pada waktu 

itu saya menjadi lebih yakin untuk mengejar cita-cita.

"Saya mahu bekerja dalam bidang veterinar supaya dapat membantu haiwan yang sakit dan tidak terjaga,” katanya.

Dalam pada itu, Ali Fahmi juga menyifatkan cabaran yang dihadapinya bukanlah halangan untuk mengejar impian, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha.

“Saya tidak mahu kekurangan ini dijadikan alasan untuk tidak berjaya dan percaya setiap orang mempunyai cabaran masing-masing,” katanya.

Semoga kisah kejayaan Ali Fahmi ini menjadi penyuntik semangat buat anda khususnya ibu bapa dan anda yang memiliki ahli keluarga autisme ringan untuk tidak terus menggilap potensi yang ada.

Sekadar info, Pusat Asasi Sains Pertanian UPM ditubuhkan pada tahun 2005 dan menawarkan Program Asasi Sains kepada pelajar lepasan SPM.

Ia merupakan satu-satunya pusat asasi di universiti awam yang memperkasakan bidang pertanian. Program Asasi Sains Pertanian ini menawarkan peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam mana-mana program ijazah sarjana muda yang ditawarkan di UPM termasuklah Perubatan, Kejuruteraan dan Perubatan Veterinar.

Sumber: UPM 1, 2