SUASANA Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menjadi hening seketika sebelum bertukar penuh emosi apabila keputusan membabitkan kes Zayn Rayyan Abdul Matin diumumkan.
Menurut laporan Sinar Harian, bapa kepada kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu, Zaim Ikhwan Zahari dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anaknya selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Namun, perasaan lega itu tidak sepenuhnya menyelimuti semua pihak kerana isterinya, Ismanira Abdul Manaf pula telah diperintah untuk membela diri atas tuduhan yang sama.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh menjelaskan bahawa terdapat bukti mencukupi untuk mahkamah meneruskan prosiding terhadap Ismanira.
"Mahkamah bebaskan Zaim Ikhwan sementara Ismanira diperintah membela diri," kata hakim itu sewaktu perbicaraan kes.
Sejurus itu, keadaan mahkamah yang senyap bertukar menjadi emosi apabila ahli keluarga termasuk datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba, 56, menangis sambil memeluk ahli keluarga yang lain.
Malah, pasangan suami isteri berusia 30 itu tahun turut mengalirkan air mata ketika mendengar keputusan dari kandang tertuduh.
Menurut laporan itu lagi, mahkamah kemudiannya menawarkan tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh yang mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.
Kedua, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh atau ketiga, berdiam diri serta tidak menjawab pertuduhan.
Selepas berbincang dengan peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, Ismanira mengambil pilihan pertama.
Dalam pada itu, Haresh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil lima saksi, termasuk suaminya, Zaim yang telah dibebaskan daripada pertuduhan sama pagi tadi.
Difahamkan, perbicaraan akan disambung semula sekitar jam 2 petang pada Isnin.
Untuk rekod, pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.