INFLUENCER permotoran tempatan, Ija Nizaruddin, atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin baru-baru ini menjadi tumpuan ramai selepas dikatakan hilang pada 14 Julai lalu.
Selepas empat hari cuba dikesan dan dikhuatiri lemas, hasil siasatan polis mendapati adiknya itu membuat laporan palsu berkenaan pempengaruh itu.
Dalam perkembangan terbaharu, lelaki yang memiliki 53,000 pengikut di Facebook itu dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM1,500 di Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat susulan kesalahan itu.
Memetik Sinar Harian, Majistret Suzana Mokhtar membuat keputusan itu selepas Ija dan adiknya Tengku Abdul Aziz, 30, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa terhadapnya.
Terdahulu, lelaki berusia 38 tahun itu disyaki lemas selepas kereta Perodua Axia yang dinaikinya ditemui terbabas ke dalam Sungai Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar, Johor.
Ija dilaporkan keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah, Johor Bahru pada tengah hari Isnin lalu untuk ke bengkel rakannya di Parit Jawa.
Dakwa rakan, kereta jenis Perodua Axia berwarna putih ditemui terjunam di dalam sungai tersebut, namun Ija masih belum dapat dikesan.
Pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama empat hari sebelum ia ditamatkan selepas tidak menemui petunjuk baharu.
Susulan itu, JBPM Johor bertindak membuat laporan polis terhadap pempengaruh berkenaan dan adik lelakinya susulan tindakan memberi maklumat palsu.
Sumber: Sinar Harian