Hampir sebulan kematian ibu, luahan penyanyi Farawahida undang sebak. 'Teringat detik akhir mak, nampak macam tidur'

Iklan

SUDAH hampir sebulan ibu tersayang menghembuskan nafas terakhir, namun rasa kehilangan itu tetap segar di hati penyanyi Farawahida.

Dalam satu perkongsian jujur dan penuh emosi di media sosial, Farawahida meluahkan rasa rindu yang tidak berpenghujung terhadap arwah ibunya, Nurmah Omar. 

Iklan
Iklan

Coretannya yang mendalam mengundang sebak dalam kalangan peminat dan rakan selebriti.

"Al-Fatihah, Mak, Nurmah binti Omar. Sudah tiga minggu tidak mendengar suara mak, dah tak ada panggilan “makkkkk” lagi. Selalunya maklah peneman, walaupun hanya melalui panggilan video. Tempat untuk meluah segalanya.

Iklan

"Rindu memang rindu tapi Paya (panggilan untuk saya) percaya mak sudah bahagia di sana. Selalu Paya berdoa agar emak hadir dalam mimpi tetapi mak tak muncul-muncul pun," titip Fara.

Iklan

Pemilik nama Farawahida Razali itu turut berkongsi pemergian bondanya begitu mudah. Tidak mengalami sakit yang teruk, ibu tersayangnya hanya menunjukkan simptom muntah.

Pemergian Normah disifatkan cukup mudah dan urusan pengebumian juga lancar seperti kebetulan yang telah ditakdirkan.

"Masih teringat detik-detik akhir nafas mak terhenti. Sampai Paya ingat mak kena strok sebab mak nampak macam tidur saja. Betapa lembutnya mak pergi

"Mak pergi (dalam masa) sekejap sahaja. Tiada pun tanda-tanda pelik macam yang selalu orang cerita apabila tiba waktu kematian. Mungkin Paya tak tahu tentang hal tu, atau terlalu positif.

"Mak cuma muntah dalam seminggu lebih macam tu, terus mak pergi...

"Rumah baru mak dekat saja dengan rumah kampung  walaupun itu bukan rumah utama kita, kan mak?  Rumah taman yang kami selalu balik tu.

"Mak meninggal di rumah kampung. Mak nak mudahkan abah, adik-beradik semua tengok jenazah. Sebab kubur dekat sangat.

"Rezeki mak. Banyak yang ALLAH izinkan berlaku dengan mudah. Kalau nak diceritakan, memang banyak," kongsinya.

Rindu yang tidak bertepi, pelantun lagu Tanpamu itu juga meluahkan kerinduan  dan mendoakan kesejahteraan buat bonda tersayang. 

"Paya rindu tapi Paya reda mak. Semua ini hanya pinjaman. Esok-esok mungkin giliran kami pula.

"Terima kasih kerana menjadi ibu yang terbaik, mendidik kami, dan sentiasa beri yang terbaik untuk anak-anak tanpa pilih kasih.

"Ada berbillion duit pun tidak mampu lawan pengorbanan mak dan abah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang sejak kecil.

"Tiada apa yang kami mampu balas untuk mak kecuali terus memberi yang terbaik sebagai bekalan mak di sana.

"Semoga ALLAH melapangkan kubur mak, memberi cahaya buat emak, menjauhkan mak daripada api neraka dan seksa kubur," kongsinya.

Baru-baru ini, Farawahida berkongsi pemergian ibunya pada 2 Julai 2025.

Sumber: Facebook