Istana Seri Kinabalu nafi individu dalam kalangan keluarga Yang Dipertua Negeri terlibat kes Zara Qairina

Iklan

 

 

Iklan
Iklan

ISTANA Seri Kinabalu pada Khamis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial kononnya ada individu dalam kalangan keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman terlibat dengan kes kematian pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Papar.

Istana Seri Kinabalu dalam kenyataan kepada Bernama menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga Tun Musa.

Iklan

Istana berkenaan juga meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah serta mengingatkan penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini memaklumkan siasatan kes itu dibawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

Iklan

Pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di sini pada 11 pagi 17 Julai, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai. - Bernama