“SAYA hanya mampu berdiri di sisi, cuba kuatkan diri walaupun hati sudah runtuh. Pandangan mata dia, keadaan dia waktu itu... semua kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila.”
Itulah detik yang tidak akan dilupakan ibu bernama Norliza Mohd Salleh.
SinarPlus sempat menemu bual ibu berusia 44 tahun itu yang juga seorang jururawat, menyaksikan sendiri anak bongsunya, Muhammad Nur Iman Danial, 16, ditolak masuk ke unit kecemasan selepas terlibat dalam kemalangan.
"Waktu itu, tak terlintas langsung dalam hati yang itu mungkin momen terakhir saya lihat dia sedar dan bercakap seperti biasa.
“Tak lama selepas saya sampai ke tempat kerja, saya terima satu panggilan. Suara di hujung talian beritahu, anak saya kemalangan. Jantung saya terus berdebar.
“Saya tunggu di pintu kecemasan Hospital Yan. Ketika JPAM tiba dan tolak anak saya masuk, luluh hati saya melihat keadaannya,” ujarnya.
Lebih menyayat hati, Norliza sendiri yang menyambut tubuh kaku anaknya. Ketika itu, dia baharu sahaja memulakan syif malam di hospital tersebut.
“Saya tunggu di pintu wad kecemasan. Mereka tolak anak saya masuk, dia sudah tidak sedarkan diri.
“Doktor dan pasukan perubatan cuba sehabis baik untuk selamatkan anak saya. Tapi luluh hati saya melihat keadaannya yang begitu kritikal… saya hanya mampu berdiri dan berdoa,” ungkapnya.
Bagi Norliza, Iman bukan sekadar anak bongsu, dia juga ‘peneman setia’ setiap kali ibunya memerlukan seseorang di sisi.
“Malam-malam kalau saya ajak keluar beli barang pun, dia yang akan ikut… sebab abang dia sudah duduk di kolej,” kongsi ibu itu lagi.
Dia berkata demikian ketika ditemui media sewaktu menghadiri prosiding kes di Mahkamah Majistret Gurun yang melibatkan tertuduh, Koperal Azhar Mat Saini, 52, yang didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Nur Iman.
BERTARUNG NYAWA
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu seksyen yang memperuntukkan hukuman penjara serta denda bagi kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Menurut Mohd Roshidi, ayah kepada Allahyarham, pihaknya sentiasa mengikuti setiap perkembangan kes.
Malah, mereka juga sedang dalam proses untuk melantik peguam pemerhati bagi pihak keluarga.
Insiden tragis itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Iman dirempuh sebuah kereta dipandu oleh seorang anggota polis.
Kemalangan tersebut berlaku di Guar Chempedak, Kedah, ketika remaja berkenaan dalam perjalanan pulang.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak itu mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan terus dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Namun, selepas tiga hari bertarung nyawa, Iman akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada malam Khamis.