USAHAWAN dan anak kepada jutawan kosmetik terkenal, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Datin Erni Dekritawati Yuliana atau lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati mendakwa dirinya dianiaya apabila menerima satu bungkusan mencurigakan yang mengandungi bahan terlarang di kediaman keluarganya daripada individu tidak dikenali.
Rita yang berkongsi insiden itu menerusi laman sosial Thread mendedahkan kes terbabit berlaku apabila adiknya menerima satu bungkusan yang meragukan.
“Scam terbaru, alamat rumah pun dah tak selamat. Semalam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) datang ke rumah adik.
“Mereka kesan parcel alamat rumah yang (dihantar) dari Thailand mengandungi ganja seberat 7 gram,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Kongsi Rita, meskipun alamat yang tertera pada bungkusan merupakan kediaman adiknya, namun nama penerima tidak dikenali oleh keluarganya.
Artikel berkaitan
“Cukup memeritkan apabila tiada jasad untuk kami cium buat kali terakhir”- Rita Sosilawati
Sehubungan itu, ahli keluarganya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian dan insiden berkenaan sedang dalam siasatan.
Dalam masa yang sama, isteri kepada Datuk Kamarulazlan Mohamad Hanafiah itu tidak menolak kemungkinan ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan alamat keluarganya untuk tujuan jahat.
Dalam pada itu, Rita juga menyatakan perkongsiannya adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam masyarakat.
"Kena ambil tahu jugak isu semasa and cara scammed terbaru. Supaya kita lebih berhati-hati ," titipnya.