USAHAWAN wanita, Mariyah Yusof atau lebih dikenali sebagai Makcik Kemboja, 49, bercerai menerusi penstriman langsung di laman sosial TikTok.
Menerusi video berkenaan yang telah dimuat naik, wanita berkenaan menerima lafaz cerai daripada suaminya yang dikenali sebagai Mr S pada Khamis.
Mr S menulis 'Dengan lafaz Bismillah Mariyah Bt Yaakob aku ceraikan kau' sebanyak lima kali pada ruangan komen.
Difahamkan, lafaz cerai itu dibuat ketika dia berada di Mahkamah Syariah Johor Bahru untuk memfailkan perceraian terhadap suaminya.
"Saya hari ini, Madam Mariyah atau Mak Cik Kemboja diceraikan di dalam live oleh Mr S. 200 mata (penonton) yang melihat perceraian itu.
"Terima kasih Mr S atas cerai yang kau lafazkan pada 7 Ogos 2025. Ternyata kamu suami yang tiada iman. Aku tidak layak jadi isteri kau, engkau juga tidak layak menjadi suami aku," kongsinya.
Mariyah turut mendakwa perkahwinan dibina selama 15 tahun itu musnah bukan kerana tiada cinta namun kerana kehadiran pihak ketiga yang tidak tahu untuk menghormati.
"Hari ini, cukup sampai di sini. Madam lepaskan segalanya, bukan kerana tak sayang, tapi kerana sudah terlalu lama bertahan sendiri.
"Semoga selepas ini ada bahagia yang ALLAH gantikan, sebab Madam juga berhak untuk tenang," kongsinya.
Mariyah dikatakan sudah lama bersabar mempertahankan rumah tangga demi anak-anak.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata memberikan kata-kata semangat agar wanita itu terus tabah.
Mariyah terdahulu menimbulkan kontroversi selepas mengaku bersalah menghina orang Melayu.
Dia didenda RM40,000 selepas mengaku atas dua tuduhan menghina menerusi rakaman video di aplikasi TikTok.