KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Keputusan ini diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarhamah Zara Qairina.
KPM dalam kenyataannya memaklumkan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
"Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.
"KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat," katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berhampiran asrama sekolah pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) keesokannya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli.