PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencuri perhatian apabila berpeluang menghiburkan penumpang dalam pesawat AirAsia yang ditumpanginya menuju ke Jogjakarta, Indonesia semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu meluahkan rasa syukur dapat beramah mesra bersama penumpang selain mengadakan sesi santai ujibakat suara dengan menyanyikan beberapa lagunya.
“Mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana AirAsia telah menyediakan hadiah atau cenderamata dan pemenang tempat pertama menerima hadiah tiket penerbangan dari mana-mana destinasi Indonesia ke Malaysia (pergi dan pulang),” tulisnya.
Tambah isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, penghargaan turut diberikan kepada Pengerusi Eksekutif Capital A & AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun yang sudi menyediakan hadiah dan turut bersama dalam penerbangan tersebut.
Aksi santai Siti nyata mendapat pujian ramai warganet yang rata-ratanya kagum dengan kelunakan vokalnya biarpun hanya dilakukan secara spontan di dalam pesawat.
“Memang penyanyi sejati, suara tetap merdu walaupun tanpa pentas besar,” komen seorang pengguna media sosial.
“Hebatnya TokTi, suara live tetap padu,” ujar seorang lagi.
Siti berada di Jogjakarta bagi memenuhi undangan persembahan khas dan kehadirannya terus menjadi sorotan peminat muzik di negara seberang.