KISAH seorang guru wanita ini benar-benar mencuri perhatian apabila sanggup memandu hampir lima jam setiap hari dari Cyberjaya ke Bukit Kepong, Johor, semata-mata untuk melaksanakan amanah sebagai pendidik.
Atas semangat, amanah dan cinta yang mendalam terhadap profesion perguruan, seorang guru wanita bernama Aisha yang juga pemilik akaun TikTok Elle Eisha merentas empat buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor demi anak bangsa.
Memulakan perjalanan seawal 4.45 pagi, wanita itu mendedahkan, akan berhenti di kawasan rehat dan rawat jika tiba-tiba mengantuk untuk mengelakkan microsleep.
"Di lebuh raya sejam setengah. Sejam lagi dari Tol Tangkak ke Bukit Kepong. Begitulah laluan saya bekerja setiap hari," tulisnya yang mula berkongsi mengenai perjalanan berkenaan sejak Julai lalu.
Tidak hanya pengorbanan masa, guru berdedikasi tersebut juga mengeluarkan sejumlah wang yang besar ntuk minyak dan tol sahaja yang mencecah lebih RM2,000 tidak termasuk kos penyelanggaraan kenderaan.
Perkongsian guru berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi warganet. Ada yang meluahkan rasa rasa kagum dan prihatin, hinggalah nasihat agar beliau berpindah lebih dekat dengan tempat kerja.
"Jika ada pengorbanan yang awak buat hingga sanggup meredah kehidupan begini. Moga segala urusan kehidupan awak dipermudahkan dan dikurniakan ketenangan hati dan jiwa. Saya doakan awak sentiasa kuat untuk berjuang," coret Biskut Empat Segi.
"Pasti ada sebab tersendiri mengapa cikgu sanggup berulang-alik sejauh ini setiap hari. Bila kisah ini dikongsikan, tidak semua akan faham. Ada yang mungkin mengecam, kerana mereka melihat dari sudut pandang yang berbeza. Namun yang pasti, ALLAH tidak akan menguji seseorang melainkan mengikut kemampuan dirinya. Semoga segala urusan cikgu dipermudahkan dan diberi kekuatan yang berterusan," titip Zaid Hamid.
"Kalau boleh, sewa dulu rumah atau bilik yang berdekatan dengan tempat kerja. Cuti nanti baru balik, atau balik setiap dua hingga tiga hari sekali. Saya pernah lalui pengalaman begini. Alhamdulillah, sekarang sudah tinggal dekat dengan keluarga. Bila fikir balik, dulu memang kurang berbaloi. Banyak kos habis untuk minyak, tol, penyelenggaraan kereta. badan pun letih sangat. Saya doakan semoga cik dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan untuk bertukar tempat kerja nanti," kongsi Iszahra Mikhayla.
Tidak kurang juga yang berkongsi cerita melalui rutin yang sama berulang-alik beratus kilometer demi mencari rezeki.
"Eh, rupanya ada geng dari Cyberjaya juga! Ingatkan aku sorang je yang ‘tak betul.’Dulu ulang-alik Cyberjaya ke Ipoh setiap hari selama enam tahun. Kerja tetap kerja. Penat tu, hanya ALLAH sahaja yang tahu. Tapi itula apabila dah ada komitmen dan tanggungjawab, kita teruskan juga. Bukan sebab nak rasa hebat pandu jauh pun," tulis bungatulip_08.
"Melaka ke Damansara, ulang-alik selama tiga tahun. Push factor? Untuk bayar kos terapi anak saya yang menghidap autisme. Di KL/Selangor, kosnya terlalu tinggi, sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Di Melaka, masih mampu lebih kurang RM1,000," titip The_PurelyMH.
"Setiap hari saya ulang-alik kerja sejauh 236km sehala, 472km pergi balik Gombak ke Kuantan. Hampir lima jam sehari berada di atas jalan. Penat, tapi tetap bertahan. Insya-ALLAH bulan depan perjuangan ini bakal berakhir. Doakan yang terbaik. Fighting!" kongsi Dr Kama.
SinarPlus mendoakan agar anda yang berjuang memandu ratusan kilometer sehari untuk mencari rezeki, semoga perjalanan kalian dipermudah dan dikurniakan rezeki halal serta penuh keberkatan.
Sumber: TikTok