LAZIMNYA makanan cicah air asam akan dimakan dengan nasi panas berupa ikan seperti kembung, pari, tilapia, keli dan banyak lagi jenis ikan yang sesuai dipanggang atau dibakar.
Bagaimanapun, jika hendak merasa sesuatu yang baharu, bolehlah cuba buat cicah air asam bersama telur. Ya, telur! Mudah, cepat dan ringkas.
Pasti ramai yang belum mencuba dan masih berperasaan ragu-ragu untuk merasai rasanya bukan?
Bagi pengguna yang berkongsi resipi berkenaan, Julia ALeen Aireish, meluahkan pendapatnya.
"Serius jujur nak cakap pertama kali tau dan jumpa resipi telur buat macam ni. Namanya pun viral, harus cuba dan rasa.
"Alhamdulillah boleh kena dengan selera. Anak-anak tak berapa suka, kita yang tua bolehlah terima ada rasa pedas cili api dan masam-masam manis sikit," katanya yang dikongsikan cookpad.com.
Telur rebus air asam resipi viral
Bahan-bahannya:
2 biji telur - terpulang berapa biji nak buat
1 biji bawang besar - hiris halus
1 biji tomato - hiris
2 biji cili besar hijau - hiris
2 biji cili besar merah - hiris
7 biji cili api - potong halus
1 mangkuk jus asam jawa - asam jawa dibancuh dengan air suam **
1 sudu makan gula **
sedikit garam halus **
Langkah-langkahnya:
Cuci telur hingga bersih, masukkan ke dalam periuk, letakkan air sama paras dengan telur. Pasang api paling kuat dan besar, biarkan masak selama 7 minit. Set masa.
Jangan lebih atau kurang masa itu antara tip untuk dapatkan telur seperti di dalam gambar, tidak terlalu masak.
1. Angkat telur kupas kulit di bawah air paip supaya elok licin untuk elakkan rosak, letak dalam bekas belah dua.
2. Cara sediakan air asam:
Dalam periuk satukan bahan bertanda (**), masak sekejap sahaja, asal panas.
3. Masukkan semua bahan yang dihiris, biarkan sekejap 15 minit sebelum makan supaya air asam itu bersatu meresap dengan telur baru sedap.
Selamat mencuba!
Kredit: Julia ALeen Aireish