Inkues Zara Qairina: Saksi temui tulisan tangan orang lain dalam buku

Iklan

INKUES bagi menentukan punca kematian Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu terus menjadi tumpuan.

Memasuki minggu kedua, pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, 44, yang merupakan saksi kedua yang memberi keterangan dalam inkues.

Iklan
Iklan

Beliau yang berkhidmat di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, mempunyai pengalaman luas dan telah menganalisis kira-kira 670 kes pemeriksaan dokumen dan daripada jumlah itu, kira-kira 120 kes adalah berkaitan tulisan tangan.

Bagi inkues kematian Zara Qairina, Nurul Atiqah difahamkan telah memeriksa barang kes melibatkan helaian kertas serta buku tulisan tangan bagi menentukan sama ada tulisan terbabit milik arwah atau sebaliknya.

Iklan

Berikut adalah ringkasan info berkaitan: 

1- Setelah perbandingan dilakukan, beliau mendapati tulisan tangan yang dipertikaikan pada helaian ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, beliau berpendapat ia ditulis oleh penulis contoh.

Iklan

2-Beliau menjelaskan, penemuan sama turut diperoleh pada helaian bertanda ‘Y8’, selain dua lagi helaian ‘W1’ dan ‘W2’ yang didapati sepadan dengan tulisan tangan contoh.

3-Menurut Nurul Atiqah, penilaian lanjut pada buku tulisan tangan bertanda ‘W3’ menunjukkan hasil tulisan Zara Qairina dan individu lain.

4-Bagi muka surat 3 hingga 6, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103, tulisan tangan dipertikaikan itu juga menunjukkan persamaan signifikan dengan penulis contoh.

Tulisan arwah Zara yang dikongsikan keluarga (Foto: FB Marhamah Rosli)

5-Namun, bagi muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89, ia menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi. Nurul Atiqah berpendapat tulisan tangan pada bahagian tersebut tidak ditulis oleh penulis contoh.

6-Sehubungan itu, katanya, setelah selesai dianalisis, kesemua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia.

Prosiding yang memasuki minggu kedua bermula pada jam 9.20 pagi itu dijalankan di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Nurul Atiqah berkata, dokumen itu bersama tiga salinan laporan kimia kemudian diserahkan kepada polis pada jam 10.45 pagi, 2 September lalu.

Difahamkan, keterangan ahli kimia, diari dan lokasi kejadian tumpuan minggu kedua inkues kematian remaja itu.

Inkues kematian Zara Qairina bermula 3 dan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan.

Sekadar info, Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Mengimbas kembali 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis manakala pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

Sumber: Sinar Harian