PEMPENGARUH Siti Jamumall dan suami, Khairul Aiman Abdul Kudus sah bercerai dengan talak satu buat kali ketiga, ketika siaran langsung di aplikasi TikTok, empat bulan lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Syarie, Fairus Jaafar di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Isnin memutuskan demikian selepas mendapati Khairul Aiman atau Aiman Tak Kesah, 22, selaku plaintif telah bercerai dengan Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, dengan talak satu kali pertama pada 17 Mac.
Pada 15 Mei, Aiman melafazkan cerai sekali lagi ketika siaran langsung laman sosial TikTok pada 1.31 pagi yang disusuli lafaz ketiga beberapa minit kemudian.
Mahkamah menetapkan talak pertama dan kedua hanya dikira sebagai satu talak rajie, manakala lafaz ketiga jatuh sebagai talak bain kubra.
"Mengambil kira lafaz ketiga dibuat berselang 15 hingga 18 minit dari lafaz kedua dan ada perbualan lain, maka lafaz berkenaan didapati sah dan menjatuhkan talak satu kali ketiga.
"Mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
"Defendan diarahkan menjalani tempoh iddah selama sehingga bersalin dan surat nikah kedua-dua pasangan ini di Perlis dibatalkan," katanya.
Peguam syarie plaintif iaitu Mohd Nooraizan Bin Md Idros, memaklumkan Aiman menerima keputusan mahkamah, namun memikirkan tentang anak sulungnya yang baharu dilahirkan.
"Dia berharap dapat berbaik semula dengan bekas isterinya itu dan saya masih dalam perbincangan sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa 14 hari.
"Ya, buat masa ini, pasangan ini tidak boleh rujuk semula," kongsinya.
Imbas kembali 15 Mei lalu, Aiman itu telah melafazkan cerai buat kali kedua terhadap Siti menerusi siaran langsung di TikTok @Sitijamumall.
Lafaz cerai tersebut diulang sebanyak tiga kali sebelum siaran langsung dihentikan secara mengejut.
Bagaimanapun, mereka kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.
Aiman ketika itu sepat berkata,"Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court".
Bagaimanapun, mereka kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.
Pasangan itu juga telah bercerai untuk kali pertama pada 17 Mac di luar mahkamah.
Sekadar info, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Jun tahun lalu di Satun, Thailand.
Terdahulu, Siti berkahwin buat kali pertama selama empat tahun dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3.
Siti melahirkan cahaya mata ketiga hasil perkongsian hidup dengan Aiman pada 12 September lalu.
Sumber: Sinar Harian