SIAPA tidak kenal anak usahawan tersohor, Ammar Ahyan. Putera sulung Papa Terlajak Laris, Datuk Seri Alif Shukri Kamarzaman dan Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid itu kini semakin aktif terlibat dalam urusan pengurusan perniagaan keluarga.
Didedahkan dengan dunia bisnes sejak usia muda dan kini turut menggalas tanggungjawab besar, Ammar Ahyan baru-baru ini mewakili D’Herbs Holding Sdn Bhd dalam menyampaikan bantuan zakat.
Nur Shahida menerusi Instagram tersentuh dengan kematangan anak bujangnya yang semakin terserlah, terutama apabila diberi amanah mewakili mereka membayar zakat berjumlah RM900,000.
"Syukur alhamdulillah tercapai impian mama dengan papa menunaikan zakat pendapatan untuk separuh tahun 2025 iaitu bagi Januari sehingga Jun kepada Lembaga Zakat Selangor.
"Malangnya mama dengan papa tidak dapat hadir atas urusan lain. Jadi kami wakilkan Ammar Ahyan untuk ke majlis hari ini.
"Sudah pesan awal tentang protokol majlis, takut dia kekok. Alhamdulillah awak nampak sangat matang Ammar," titip ibu kepada enam cahaya mata itu.
Shahida dalam masa yang sama bersyukur dan berharap ia dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
"Semoga apa yang kami sumbangkan tahun ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan asnaf di negeri Selangor.
"Terima masih Datuk Seri Siti Nurhaliza sudi luangkan ditemu ramah Ammar," titipnya.
Semasa ditemu bual, Ammar meluahkan rasa bangga kepada bapanya sekali gus mendidiknya tentang kewajipan mengeluarkan zakat.
“Saya sangat bangga dengan papa. Insya-ALLAH tahun depan saya pula akan mula bayar zakat.
"Zakat ini salah satu tiang Islam, dan sudah tentu kita semua ingin menghulurkan bantuan kepada orang yang lebih memerlukan,” katanya.
Warga maya memuji didikan Alif dan Shahida yang wajar dijadikan contoh kepada ibu bapa lain.
"Tahniah Datin dan Datuk kerana mendidik anak dengan begitu baik. Menjadi contoh buat kami dan para ibu bapa di luar sana."
"Tahniah kepada keluarga Datin Shahida. Semoga rezeki terus bertambah dan dapat terus membantu golongan asnaf di Selangor. Tahniah juga kerana dikurniakan anak yang soleh, penyejuk mata dan penawar di hati."
"Setengah tahun sahaja bayar zakat RM900,000. Ya ALLAH semoga yang membayar zakat ini sentiasa dimurahkan rezeki dan diberkati hidupnya."
"Dah besar Ammar, boleh ganti Papa."
Difahamkan, penyumbang utama adalah Dherbs Holdings Sdn Bhd dengan jumlah zakat sebanyak RM900,000 diikuti Aura One Resources (M) Sdn Bhd berjumlah RM702,432 dan XpertsCo Sdn Bhd dengan nilai RM624,161. Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut tersenarai antara penyumbang zakat perniagaan tertinggi.
Sekadar info, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah serta Luqman Al-Hakim.