TULAR di laman sosial foto Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyertai latihan asas komando hutan bagi melengkapkan Kursus Komando Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut memuat naik foto sama di Instagram, anakanda Sultan Pahang, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu berkongsi titik koordinat lokasi di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Terdahulu, Tengku Hassanal melakar sejarah melakukan dua kali terjunan pada ketinggian 10,000 kaki.
Julai lalu. Facebook Kesultanan Pahang memaklumkan Tengku Mahkota Pahang itu menyertai Latihan Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Kursus Komando TUDM Siri 32/2025.
Latihan bersama Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Kursus Komando TUDM yang dijadualkan berlangsung selama tiga bulan, bermula Selasa hingga akhir Oktober ini.
Sekadar info, Paskau merupakan unit elit di bawah TUDM yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan ruang udara negara.
Pasukan tersebut ditubuhkan bagi menangani situasi kritikal seperti rampasan pesawat, ancaman terhadap pangkalan udara dan melaksanakan operasi khas berisiko tinggi demi keselamatan negara.
Warganet memuji keberanian dan kesederhanaan Tengku Hassanal.
"Salute Tengku Hassanal. Anak raja berjiwa rakyat, kental dan berani. Bertuah rakyat Pahang."
"Ciri-ciri ketua yang menjadi ikutan rakyat."
"Tidak gentar bermain lumpur, daulat Tuanku."