PENYANYI dan sukarelawan, Heliza, bersama adiknya Hazwani Helmi, berkongsi pengalaman ketika ditahan oleh tentera penjajah haram selepas kapal yang dinaiki dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan G4z4.
Menerusi temu bual eksklusif Astro Awani, Hazwani, 29, berkongsi momen yang sejurus sebelum diculik Khamis lalu.
"Waktu itu banyak insiden berlaku untuk kami terpisah. Kami doa 'Ya ALLAH, biarlah kami adik-beradik bersama supaya apa aurat kami terpelihara'.
"At least apa-apa kita akan jaga each other," kata Hazwani.
Mengimbas kembali kejadian kapal dinaiki, Johny M dipintas, Hazwani mendedahkan, mereka beberapa kali diganggu melalui sistem radio oleh tentera Isr4el.
“Sebelum kapal kami diserang, mereka dah beberapa kali cuba ganggu komunikasi radio.
"Paling saya tak boleh lupa liriknya ‘Many more will have to suffer, many more will have to die, don’t ask me why’.
“Mereka memang sengaja nak menakut-nakutkan kami, tapi Alhamdulillah semangat kami kuat. Syukur delegasi dari Columbia semua kuat semangat.
'Saya syukur juga bila ada adik-beradik ni sedikit sebanyak memberi kekuatan walaupun kita tahu ibu bapa kita mesti risau," katanya.
Sementara itu, Heliza, 39, menerusi temu ramah menitipkan syukur apabila beliau dan adiknya berhijab sepanjang dipenjara.
"Sebenarnya, tak tahulah ini dengan izin ALLAH, ada benda yang kita kena syukuri. Memang mereka (tentera penjajah haram) tidak benarkan tahanan wanita memakai hijab.
"Ada yang kena tarik rambut macam-macam lagi kita dengar cerita daripada sahabat-sahabat. Mungkin rezeki, rezeki masing-masing di mana, bila giliran kami, ALLAH pelihara.
"Kami beritahu wanita Muslim perlu berhijab dan kami tidak pernah tidak memakai hijab, as Muslim is a must.
"Lepas tu dia memang cakap 'No'. Mereka tidak peduli. Sebenarnya, tentera perempuan ni lagi dahsyat dan lagi kejam.
"Nasib baik ada tentera lelaki dan dia tanya, what happened? Dia cakap, I'm Muslim, I need to pray.
"Kemudian dia pun macam, ok faham dan Alhamdulillah, saya dan adik dapat pakai hijab," kongsi Heliza.
Dalam pada itu, Heliza sempat berkongsi momen ketika berada di dalam sel yang mana dirinya dan Hazwani terpisah.
Keadaan yang dialami mereka membuatkan mereka menangisi nasib rakyat P4lestin yang mengalami seksaan yang lebih dahsyat.
"Kami terpisah untuk kali pertama di sel yang berbeza. Pada satu petang tu, saya nak solat jamak takhir. Saya tak tahu pukul berapa, jam tak ada dan ketika itu ALLAH beri satu perasaan sayu hati ini.
"Kami baru rasa secebis sahaja daripada apa orang G4z4 rasa. Kami baru tidak minum dua hari rasa macam hendak mati. Baru dua, tiga hari tidak makan.
"Kami rasa macam tidak mampu untuk berjalan. Bagaimana orang G4z4 lalui yang lagi brutal, lagi dahsyat.
"Ya ALLAH bantulah mereka. Itu buat saya sedih," kongsinya.
Dalam pada itu, Heliza juga mendedahkan aktivis wanita lain turut menitiskan air mata mengenang nasib penderitaan dilalui rakyat P4lestin.
Beberapa hari ditahan, Heliza juga kagum dengan semangat para aktivis yang turut menjadi tawanan. Katanya, ada yang sudah berusia 78 tahun namun masih bersemangat untuk membantu mereka yang tertindas.
"Hampir 80 tahun masih bersemangat. Jadi, kita sebagai anak muda perlu lebih bersemangat," kongsinya.
Sumber: TikTok