TULAR di laman sosial mayat seorang lelaki ditemui di dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Pulau Pinang rupanya ialah ejen insurans yang dilaporkan hilang sejak 8 Oktober lalu.
Memetik Sinar Harian, Lee Boon Han, 31, dilaporkan hilang sejak 8 Oktober lalu selepas dia dikatakan keluar ke Perlis atas urusan kerja dan tidak dapat dihubungi.
Susulan kehilangan, bapanya yang bertanggungjawab membuat laporan polis hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 9 pagi, pada Jumaat untuk melakukan proses pengecaman mayat.
Peniaga berusia 69 tahun itu sebak sebaik keluar daripada bilik mayat dan hanya mengangguk kepada ahli keluarga dan kenalan bahawa mayat tersebut adalah anaknya.
Enggan memberi sebarang kenyataan kepada media, warga emas itu memohon agar wajah ahli keluarganya tidak dirakamkan ketika berada di hospital.
Media terdahulu melaporkan mayat seorang lelaki dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan yang diikat ditemui disumbat di dalam sebuah beg di belakang pangsapuri.
Jasad berkenaan ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan yang sedang menjalankan tugas rutin di kawasan kediaman berkenaan.
Siasatan awal polis dan pasukan forensik mendapati kepala mangsa diserkup menggunakan plastik dan dipercayai baru dibunuh berdasarkan keadaan mayat serta kesan kecederaan.
Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu terlibat dan motif pembunuhan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung identiti mayat lelaki berkenaan.
Sumber: Sinar Harian