Syukur urusan bersara awal lulus, isteri Mamat Sepah nekad berhenti jadi polis, tawar hati selepas ditahan
"Alhamdulillah urusan bersara awal dah diluluskan.
Demikian kongsi isteri kepada pelawak Mamat Sepah, Nordiana Ibrahim meluahkan rasa syukur selepas permohonannya menamatkan tugas lebih awal mendapat kelulusan.
Selepas 20 tahun berkhidmat dalam pasukan badan beruniform Sang Saka Biru, Nordiana atau lebih dikenali Nana sudah bersedia melangkah ke fasa baharu hidup dengan penuh harapan dan kebergantungan kepada rezeki Allah.
"Orang kata awal lagi nak bersara. Sedar atau tak sedar Alhamdulillah sudah 20 tahun dalam pasukan.
"Macam-macam sudah dilalui. Insya-ALLAH percaya kepada rezeki ALLAH dan doakan saya berjaya dalam bidang yang lain," kongsinya.
Artikel berkaitan:
Kepada mStar, Nana sempat meluahkan keputusan itu didorong oleh masalah keresahan atau anxiety selain hilang minat selepas insiden ditahan bagi membantu siasatan dakwaan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram pada tahun lalu.
“Saya dah kurang minat dengan kerjaya ini kerana sudah lama dalam pasukan dan macam-macam lagi yang saya lalui. Lebih buat saya tawar hati apabila kes saya kena tangkap dengan suami.
Wanita kelahiran Sabah itu juga menjelaskan berasa lebih tenang kerana akhirnya dapat ‘melepaskan’ diri daripada rutin dan beban kerja, dan kini menikmati kehidupan yang lebih tenang dan lapang.
Dalam pada itu, Mamat pula meluahkan rasa bimbang tatkala Nordiana menjalankan tugas di lapangan pada waktu malam, lebih-lebih lagi selepas kejadian balai polis diserang beberapa tahun lalu.
Pemilik nama Mohd Noor Murad itu juga mengakui pada awalnya berat hati membiarkan isteri melepaskan kerjaya namun percaya sudah tiba masa suri hatinya berehat selepas dua dekad berkhidmat.
“Dia sebenarnya dah lama minta nak bersara kira-kira tiga tahun lalu. Tapi saya kata sayang sebab impian saya nak jadi polis tapi tak dapat. Ada isteri polis pun okaylah.
“Bagi saya ini waktu dia berehat kerana salah satu punca saya minta dia berhenti kerana tak sanggup tengok dia kerja malam.
“Bukan itu saja, ada kejadian balai polis diserang waktu malam itu pun jadi punca saya tak mahu dia kerja malam. Saya takut dan rasa tak adil dia kena kerja malam,” tambahnya lagi.
Sekadar info, Mamat dan Nordiana berkahwin pada 1 Mac 2020 dalam satu majlis di Kulai, Johor selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.