PASANGAN pempengaruh popular, Zafir Karipap dan Diyana Arefina kini bergelar ibu bapa selepas menyambut kelahiran cahaya mata sulung perempuan pada Rabu.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Zafir menerusi laman sosial miliknya dengan kapsyen ringkas namun penuh makna, menzahirkan rasa syukur atas kehadiran si kecil dalam hidup mereka.
“Alhamdulillah, kami bertiga,” tulisnya sambil memuat naik sekeping foto memperlihatkan bayi mereka yang comel.
Dalam masa yang sama, personaliti media sosial itu turut menitipkan rasa syukur dan terharu dengan kehadiran puteri kecil yang melengkapkan rumah tangga mereka.
"Segala puji bagi ALLAH, tuhan sekalian alam, Telah lahir cahaya mata pertama kami, seorang puteri yang hadir dalam kisah hidup ini.
"22 October 2025. Segala penat, doa dan air mata berbayar bila tengok wajah kecil ni.
"Moga membesar jadi anak yang solehah, penyejuk hati mummy dan dada," katanya.
Zafir atau nama sebenarnya Zafiruddin Mohd Mahazir dan Diyana berkahwin pada 24 Februari 2024.