Bangun Subuh, lihat leher anak parah seperti dikel@r. Ibu kini ditahan bersama suami!

Iklan

DETIK awal pagi yang sepatutnya tenang bertukar mimpi ngeri buat sepasang suami isteri di Parit Raja apabila anak lelaki mereka berusia enam tahun ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar di leher, pada Isnin.

Lebih mengejutkan, pasangan itu kini ditahan polis bagi membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pasangan suami isteri berusia 41 tahun yang berniaga sendiri itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat kira-kira jam 4 petang Selasa.

"Polis turut membuka kertas siasatan baharu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian disedari oleh ibu mangsa pada kira-kira jam 5.30 pagi, apabila wanita berusia 40 tahun itu terjaga daripada tidur dan mendapati anaknya cedera parah di bahagian leher.

Iklan

Wanita terbabit kemudian menghubungi pihak polis sebelum membawa anaknya ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda tajam. Motif kejadian masih dalam siasatan.

Si kecil itu dilaporkan telah menjalani pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). 

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sudah boleh bercakap namun pihak polis belum merekodkan keterangan kerana masih dalam proses pemulihan.

Dalam pada itu, Shahrulnuar menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang gambar mangsa atau membuat hantaran di media sosial tanpa pengesahan pihak berkuasa kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Orang ramai juga diingatkan bahawa tindakan menularkan gambar mangsa boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Bernama