KISAH si kecil ini benar-benar memilukan. Dahulu membesar dengan sempurna, aktif, lincah dan ceria, tetapi akibat serangan influenza yang teruk, tubuhnya kini lemah dan terlantar.
Doktor mengesahkan bahawa penyakit itu telah menyebabkan Muhammad Aish Irfan Mohammad Hakeem, 3, mengalami Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC) iaitu kerosakan otak teruk berpunca daripada jangkitan Influenza A hingga menjadikannya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal.
Kepada Sinar Harian, ibu, Siti Nur Shafiqa Suraini, 31, turut berkongsi anak sulungnya itu kanak-kanak yang aktif dan petah, sudah mampu menyebut huruf A hingga Z serta mengenal warna sebelum jatuh sakit.
Malah ibu muda itu juga berkongsi kronologi yang mengubah hidup anaknya dalam sekelip mata.
“Malam itu, sebelum tidur dia masih bermain dan minum susu seperti biasa. Tapi kira-kira jam 4.30 pagi, dia tiba-tiba menangis kuat, muntah dan suhu badannya naik mendadak hingga 39.8 darjah Celsius.
Kanak-kanak itu juga ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) setibanya di jabatan kecemasan susulan suhu mencecah 41 darjah Celsius dan bacaan oksigen merosot.
“Hari pertama di PICU, oksigen masih tak stabil dan kaki dia tiba-tiba lemah. Selepas imbasan CT dan MRI, doktor sahkan otak Aish ada kerosakan akibat Influenza A.
"Hari kedua, dia ditidurkan dan doktor minta kami bersedia untuk sebarang kemungkinan,” jelasnya.
Tidak hanya itu, si kecil kesayangannya turut bersabung nyawa selama sebulan sebelum keadaan kembali stabil.
Kesan influenza kepada si kecil itu bukan kepalang. Kalau dahulu perkembangan Aish normal dan aktif, kini dia hilang keupayaan mengawal tubuh, tidak boleh bercakap, perlu minum susu melalui tiub dan disahkan OKU fizikal.
“Pakar maklumkan gelombang otak masih perlahan. Sekarang Aish cuma boleh tunjuk reaksi sedih atau gembira.
Rawan di hati ibu tidak terhenti. Kini permata hatinya itu terus menjalani rawatan susulan dengan lima orang pakar termasuk neurologi, pediatrik, kulit dan penyakit berjangkit, selain empat jenis terapi iaitu fisioterapi, terapi bahasa, cara kerja dan rehabilitasi.
“Terapi fisioterapi di luar mencecah RM150 untuk 20 minit untuk sekali terapi, ada juga terapi di hospital kerajaan cuma dapat dua atau tiga bulan sekali. kami ada dapat bantuan JKM RM500 untuk OKU terlantar, tetapi masih lagi tidak mencukupi untuk menampung kesemua kos rawatan dan pemulihan.
“Semoga Muhammad Aish Irfan kembali pulih dan dapat merasa semula nikmat berjalan, bercakap dan ketawa seperti dulu,” katanya.
Video kanak-kanak itu terdahulu tular di laman sosial TikTok sehingga meraih lebih 300,000 tontonan dan hampir 5,000 tanda suka.
Warganet rata-rata mendoakan agar si kecil itu pulih dan berupaya menjalani kehidupan yang lebih baik.
Kepada orang ramai yang ingin menitipkan bantuan bolehlah menghubungi Siti Nur Shafiqa menerusi akaun TikTok 'IbuAish'.
Sumber: Sinar Harian (RosKhoirah Yahya), TikTok