SUASANA tegang menyelubungi Mahkamah Sesyen Petaling Jaya apabila bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin gagal mengawal perasaan.
Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilihat menjerit ke arah pegawai penyiasat sejurus selepas isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, diperintah menjalani hukuman lima tahun serta-merta di Penjara Wanita Kajang.
Memetik Sinar Harian, beberapa ahli keluarga terpaksa menenangkan bapa kepada dua cahaya mata itu sebelum membawanya keluar dari kamar mahkamah menuju ke lokasi sidang media.
Bagaimanapun, emosi memuncak apabila ibu Zaim Ikhwan turut meluahkan ketidakpuasan terhadap pegawai polis yang mengendalikan siasatan cucunya dua tahun lalu.
“Puaslah kau, botak!” katanya dalam nada marah sebelum beredar dari kawasan mahkamah.
Ismanira dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Pemergian Zayn Rayyan pada 6 Disember 2025 merobek hati rakyat Malaysia. Si kecil autistik itu ditemukan meninggal dunia berhampiran anak sungai di Damansara Damai mengalami pelbagai kecederaan termasuk kecederaan di leher dan badan kanak-kanak itu termasuk mati dijerut, dubur koyak, lelangit lebam dan mulut dimasukkan benda asing secara paksa.
Sumber: Sinar Harian