PERSONALITI media sosial, Prince Syed, tampil menjelaskan dia sebenarnya tidak pernah menggalakkan isterinya menjalani pembedahan bariatrik, sebaliknya sudah pun memberi peringatan awal mengenai risiko prosedur berkenaan.
Menerusi satu video yang tular di media sosial, Prince Syed atau nama penuhnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 33, dilihat menjelaskan situasi sebenar yang kini hangat diperkatakan.
Dia mendakwa sudah menasihati isterinya, Fatin Syazwani, supaya tidak melakukan pembedahan tersebut, namun wanita itu tetap mahu meneruskan kerana yakin dengan doktor yang dipilih dan hasil terdahulu pakar itu.
"Abang dah cakap daripada awal, tak bagi sayang buat. Ingat ke tidak apa yang abang cakap? So, abang takut risiko tapi sayang kata nak buat dengan doktor ini.
"Okay, saya kata jumpa dengan doktor yang betul-betul rasa macam boleh buat yang paling terbaik, So, kita pun nak tengok latar belakang doktor, kita tengok evidence semua.
"Berbulan-bulan untuk abang nak fikirkan keputusan untuk membenarkan dan mengizinkan untuk awak membuatnya.
"Tapi, sudah pesan dari awal, abang memang tak bagi sayang buat bariatrik ini. Abang dah cakap.
"Sayang kata nak buat juga sebab yakin buat dengan Dr ini, tiada ada apa-apa masalah," kongsinya menerusi siaran langsung di TikTok.
Dalam masa yang sama, isterinya, Fatin Syazwani, turut mengakui telah melihat ramai individu lain yang berjaya selepas menjalani prosedur sama.
Prince Syed menegaskan tidak pernah memaksa dan keputusan itu dibuat atas kehendak Fatin sendiri.
"Abang tak pernah (suruh), orang kata tak menyarankan dan juga tidak menghalang kerana suatu hari nanti orang akan salahkan saya.
"Kadang-kadang orang tak faham sebab mereka rasa membuat pembedahan bariatrik ini adalah satu tindakan yang, jika tidak difahami, mungkin akan fikir negatif. Betul tak?," ungkapnya lagi.
Terdahulu ibu bapa mentuanya dilaporkan antara empat individu ditahan berhubung satu kejadian pada Sabtu.
Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah, berkata laporan dibuat oleh seorang lelaki berusia 33 tahun yang mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 2.40 petang.
"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.
"Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber: Instagram