ISU berkaitan pempengaruh yang didakwa terlibat dalam pembedahan bariatrik isteri dan melarikan keluarga daripada mentua, adik ipar tampil mendedahkan mendedahkan mengenai konflik yang berlaku.
Adik iparnya, Muhd Ikhwan Alif antara ahli keluarga yang ditahan polis dan baharu dibebas mendedahkan seisi keluarga tidak mengetahui kakaknya menjalani pembedahan berkenaan.
"Kami sekeluarga tidak tahu dia menjalani pembedahan bariatrik. Apabila dia (Prince Syed) memuat naik hantaran di TikTok, kami tertanya-tanya tentang keadaan kakak.
"Kami tertanya-tanya kenapa kakak nampak lemah sangat. Balik ke rumah pun nampak tidak larat (bermaya), muntah-muntah.
"Dia pula balik rumah kami dan sebelum bertolak ke Langkawi, tidak bertegur sapa dengan emak dan abah selama dua hari. Hanya duduk dalam bilik.
"Nampak dia (kakak) tidak sihat waktu itu dan kami pula tidak tahu dia potong perut (pembedahan bariatrik). Dia hanya dalam bilik selama seminggu," kongsi Ikhwan.
Dalam pada itu, dia meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan abang iparnya yang dikatakan tidak memaklumkan hal sebenar kepada ibu bapa, sehingga menimbulkan kekeliruan dan situasi yang tegang.
"Paling teruk selepas dia pulang dari Guar Cempedak Gurun, Kedah. Hari pertama acara di sana, ibu ingin ke sana untuk melihat kakak tanpa pengetahuan suaminya.
"Ketika itu mereka tidak sangka emak datang. Emak nampak kakak terlantar atas katil dan matanya kaku, seolah-olah terkena sihir. Ketika itu keluarga tidak lihat lagi video yang dimuat naik abang ipar yang mengaitkan kakak dengan gangguan mistik.
"Ketika itu emak minta izin untuk membawa kakak pulang untuk berubat cara kampung kerana dia kata terkena sihir," kongsinya di TikTok.
Dalam pada itu, Ikhwan juga menyatakan kekecewaan dengan sikap pempengaruh itu yang tidak melibatkan ibu bapanya hingga ditahan lokap.
"Kau buat mak abah aku macam ni. Bila kau perlu, dua orang yang disumbat dalam penjara inilah yang hulurkan tangan," kongsinya.
Terdahulu, Prince Syed mendedahkan isterinya melakukan rawatan tersebut atas kerelaan wanita itu sendiri.
Ibu kepada dua cahaya mata itu mendedahkan pembedahan berkenaan dijalankan di sebuah pusat perubatan swasta di Ipoh, Perak pada 8 Oktober.
Sebelum ini, tular di media sosial video ibu Fatin Syazwani datang ke sebuah rumah dan mengatakan menantunya melarikan bersama anak dan cucu serta menghalang mereka bertemu dengannya.
Wanita itu turut mendakwa Prince Syed berkahwin dengan Fatin Syazwani semata-mata untuk menjadikannya ‘tikus makmal’ dengan memaksa menjalani pembedahan bariatrik bagi mempromosikan produk pelangsingan badan.
Sumber: TikTok