PANJANG umurnya, demikian komen daripada warga maya yang mengikuti kemalangan yang berlaku di Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini. Masakan tidak, gadis berusia 23 tahun itu dilaporkan hilang hampir sehari sebelum ditemui dalam keadaan lemah dan cedera parah selepas terbabas ke dalam paya berhampiran Jalan Pokok Machang.
Lebih mengharukan, penemuannya bukan hasil operasi besar-besaran atau bantuan teknologi canggih, tetapi kerana naluri kemanusiaan dua pegawai bomba yang kebetulan berada di kawasan sama selepas selesai tugasan siasatan kebakaran.
Tanpa berpandukan panggilan kecemasan, mereka terdorong untuk membantu keluarga mangsa yang sedang mencari, lalu secara tidak disangka menemukan wanita itu masih bernyawa di tepi semak berhampiran paya.
Berikut kronologi yang dikongsikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang:
1-Difahamkan, mangsa keluar dari rumah selepas solat Isyak pada Selasa namun gagal dihubungi sejak itu.
2-Ahli keluarga memulakan pencarian pada awal pagi Rabu apabila motosikal mangsa ditemui di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah agama.
3-Menurut Ketua Zon 4 (Butterworth), Penguasa Kanan Bomba II, Rosli Zakaria berkata, dua pegawai iaitu Penolong Penguasa Bomba Luqman Mahmud dan Penolong Kanan Penguasa Bomba Zainudin Abu Bakar yang baru selesai menjalankan siasatan kes kebakaran di kawasan berhampiran terserempak dengan keluarga mangsa ketika sedang melakukan pencarian.
4-Keprihatinan sebagai anggota penyelamat menyebabkan kedua-dua pegawai berkenaan segera membantu mencari mangsa yang kemudiannya ditemukan di tepi semak berhampiran paya kira-kira 100 meter dari motosikalnya.
5-Mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan tidak bermaya oleh kedua-dua pegawai bomba berkenaan.
6-Sebaik ditemui, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor dihubungi bagi membantu mengangkat mangsa.
7-Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Rosli berkata, kepekaan dan keprihatinan dua pegawai tersebut wajar dipuji kerana tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.
"Naluri dan kecekapan anggota bomba di lapangan sering menjadi faktor penentu dalam operasi sebegini.
"Ia membuktikan komitmen pasukan bomba sentiasa bersedia, bukan sahaja ketika panggilan kecemasan diterima, tetapi juga dalam situasi harian,"katanya.
Warga maya memuji keprihatinan dan inisiatif pegawai berkenaan yang bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab luar biasa, malah membuktikan semangat kemanusiaan anggota bomba tidak pernah padam walau di luar waktu tugas.
Seorang lagi netizen turut berkongsi rasa bangga dengan tindakan spontan dua pegawai itu.
“Bangga dengan semangat mereka membantu masyarakat dalam apa jua keadaan. Inilah contoh wira sebenar!” katanya.
Tidak kurang juga yang menganggap kejadian itu sebagai takdir dan petunjuk Tuhan apabila kedua-dua pegawai terbabit secara kebetulan melalui kawasan berkenaan pada masa yang tepat, sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa sebelum terlambat.
Sumber: FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang