TUJUH tahun menjaga isteri tersayang, Muhammad Saiful Sudin, 35, akhirnya reda apabila wanita yang menjadi tulang rusuknya, Nor Fadillah Abd Rahman, 34, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi pada Rabu selepas sekian lama bertarung lumpuh sejak melahirkan anak pertama mereka.
Kisah cinta mereka pernah tular. Sepanjang tempoh itu, Saiful tidak pernah berputus asa memberikan sepenuh perhatian kepada arwah, di samping menjaga permata hati mereka, Mohd Syahmi yang kini sudah berusia tujuh tahun.
Walaupun kehidupan diuji dengan pelbagai dugaan, bagi Saiful yang terpaksa mengambil upah bekerja kampung yang tidak memaksanya keluar lama kerana bimbang keadaan Nor Fadilla menganggap wanita itu bukan beban, tetapi amanah dan kasih yang tidak ternilai.
"Abang halalkan makan minum, ampunkan dosa dan reda ayang pergi," bisik Muhammad Saiful kepada Nor Fadillah usai menghembuskan nafas di sisinya akibat kerosakan buah pinggang tahap tiga, jangkitan kuman pada paru-paru, hati rosak serta jantung lemah selepas mengalami demam beberapa hari lalu.
"Sebelum itu, doktor memaklumkan isteri perlu ditidurkan, namun kerana tidak ingin mengambil risiko oleh kerana dia telah lama terlantar sakit sebelum ini maka ia tidak diteruskan.
"Sehinggalah jam 2 pagi keadaan isteri stabil dan pada jam 8.30 pagi tadi selepas memberinya minum susu, dia hanya merenung wajah saya.
Imbas kembali, kisah Nor Fadillah dan Saiful terdahulu menjadi viral susulan kisah cinta sejati mereka.
Nor Fadillah, yang mesra dipanggil Mok La, hanya mampu berinteraksi melalui isyarat mata selepas degupan jantungnya seketika semasa menjalani pembedahan melahirkan anak sulung pada 18 November 2018.
Insiden itu menyebabkan dia koma selama tujuh bulan, tanpa sempat menatap wajah si kecil yang baru dilahirkan melalui pembedahan.
Apabila akhirnya sedar, Mok La kehilangan keupayaan bertutur dan bergerak sepenuhnya. Sejak itu, arwah meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada susu khas yang disalurkan melalui tiub di leher dan perut, selain perlu memakai lampin pakai buang bagi menguruskan keperluan harian.
Sementara itu, keluarga, Hasirah Nujiey berkongsi momen sayu Muhammad Saiful menatap mengucup dahi suri hatinya buat kali terakhir sebelum proses pengebumian.
"Allahuakbar… Angkatlah darjat suami Mok La.
"Ciuman terakhir seorang suami buat isteri tercinta, tanda kasih yang tak pernah pudar hingga ke hujung nyawa," kongsi Hasirah.
Jenazah arwah Nor Fadillah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Bachok.