Anak 2 tahun maut selepas 4 hari bertarung nyawa, ibu pilu kongsi detik ngeri akibat sengatan ubur-ubur 

Iklan
Foto: Bernama

TIDAK terdetik di hati ibu warga Rusia ini untuk kehilangan anak tersayang, Vladimir ketika kunjungan kali pertama ke Malaysia akibat sengatan ubur-ubur.  

Olga, 32, bagaimanapun terpaksa menerima kenyataan puteranya menghembuskan nafas terakhir selepas empat hari bertarung nyawa akibat disengat ubur-ubur di Pantai Chenang, Langkawi Sabtu lepas.

Iklan
Iklan

Si kecil yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) disahkan meninggal dunia pada 9.46 pagi tadi selepas empat hari menerima rawatan di hospital itu.

Bapa kanak-kanak itu, Nikita Iakubanets, 32, berkata, Vladimir tewas selepas berdepan bisa sengatan ubur-ubur kotak (boxy jellyfish).

Iklan

Jelasnya racun ubur-ubur jenis itu tidak hanya meninggalkan kesan luaran yang teruk malah kerosakan sistemik.

Foto: Bernama/ Sinar Harian

Iklan

"Anak saya telah terkena kesan racun ubur-ubur yang menjejaskan jantungnya. Doktor juga berkata yang anak saya mengalami kecederaan sangat teruk di kakinya.

Bapa muda itu mengakui pasukan perubatan HSB telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan anak mereka dan merakamkan penghargaan di atas usaha mereka.

Imbas kembali detik akhir sebelum Vladimir disengat ubur-ubur, Nikita berkata, dia bersama isteri dan anaknya sedang mandi di Pantai Chenang sebelum anaknya menjerit kesakitan.

Ketika itu Olga mengangkat anak mereka ke pantai dan cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum membawanya ke sebuah klinik berhampiran.

Sejurus itu Vladimir dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi sebelum dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut keesokannya.

Nikita berkata, mereka suami isteri bercadang berada di negara ini hingga 26 November selepas tiba pada 14 November lalu.

Foto: Bernama

Tiba bertiga namun pulang berdua. Olga mendedahkan perancangan meruntun hati yang mana dia dan suaminya bercadang untuk membawa pulang abu mayat anak mereka ke Khabarovsk, Rusia.

"Dia (Vladimir) adalah wira kami. Setiap hari kami memberitahunya bahawa kami menyayanginya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak warga Rusia berusia dua tahun dimasukkan ke hospital selepas dikatakan disengat ubur-ubur dalam kejadian di Pantai Chenang, Langkawi, pada Sabtu. 

10 LANGKAH JIKA DISENGAT UBUR-UBUR

Menurut Public Health Malaysia, berikut langkah perlu dilakukan jika disengat ubur-ubur:

1-Keluar dari air dan tenangkan diri

2-Jangan gosok kawasan sengatan

3-Siram dengan cuka putih (5 peratus) selama 30 saat 

4-Buang tentakel dengan penyepit, bukan menggunakan tangan 

5-Rendam dalam air suam dan dapatkan rawatan segera

6-Cuka bukan sekadar petua lama. Ia melumpuhkan sel penyengat (nematocyst) yang belum melepaskan racun. Kalau disiram dengan air tawar atau digosok, sel ini boleh meletus dan racun akan masuk lebih dalam.

7-Jangan percaya mitos untuk menyiram tempat sengatan dengan air kencing, Coca-Cola atau alkohol kerana ia  menyebabkan nematocysts mengeluarkan lebih banyak racun.

8-Telefon talian kecemasan atau bawa ke hospital dengan kadar segera sekiranya mangsa mengalami tanda tanda alahan teruk

9-Sengatan dari ubur-ubur spesies box jellyfish yang berbentuk kiub dikira kecemasan dan perlu dirawat segera!

10-Mangsa yang mengalami sengatan lebih daripada separuh bahagian lengan atau kaki juga perlu rawatan cepat!

Sumber: Bernama, Public Health Malaysia