EMPAT hari hilang dalam kejadian kepala air Sungai Klang Isnin lalu, penantian keluarga mangsa berakhir apabila jasad mendiang ditemukan. Hilang dibawa arus pada Isnin di Kuala Lumpur, mayat ditemukan pada jarak 65 kilometer (km) di Sungai Kandis, Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, jasad K Suresh, 37, dihanyutkan arus deras.
"Kawasan pencarian, kita telah dibahagikan secara peringkat bagikan by stages yang mana hari pertama pasukan penyelamat telah pergi sejauh 20km dan pada hari yang kedua kita telah pergi sejauh 26km, seterusnya pada semalam dan pada hari ini ia luaskan lagi sejauh anggaran 36km.
"Mayat sebenarnya sudah hanyut, cuma tersangkut di tempat perangkap sampah di Kampung Sungai Kandis.
Dalam pada itu, Sazalee turut mendedahkan tatu pada tangan dan pengecaman keluarga membantu proses mengenal pasti mayat lelaki itu.
"Pada 10.30 jam pagi, team yang kelapan telah terjumpa satu mayat terapung di kawasan perangkap sampah di Kampung Sungai Kandis.
"Hasil pemeriksaan yang telah dibuat ke atas mayat berkenaan, kami telah mengesahkan mayat ini adalah mangsa yang telah dihanyutkan daripada Sungai Klang seperti yang dilaporkan.
"Pengesahan dibuat pada ketika itu melalui tatu pada tangan mangsa yang tertulis namanya sendiri. Selain itu, pengecaman secara fizikal dilakukan oleh ahli keluarga mangsa.
"Keadaan mayat telah membusuk dan mayat kita bawa ke hospital Shah Alam untuk tujuan bedah siasat. Mangsa ditemukan sejauh 65km daripada tempat mangsa dihanyutkan," kongsinya.
Dalam pada itu, abang mendiang yang enggan dikenali ditemui Sinar Harian berkata keadaan mayat adiknya masih elok dan telah dicam daripada wajah dan tatu.
Katanya, mereka dibawa oleh polis untuk proses pengecaman sebaik sahaja menerima maklumat penemuan mayat berkenaan.
"Saya dan beberapa adik-beradik lain melakukan pengecaman terhadap tubuh mendiang.
"Mereka bawa kami terus ke lokasi mayat adik ditemui, bila tengok mayat, memang sah adik saya, mukanya, tatu, semuanya sama dan mayat dia masih elok," katanya ketika ditemui Sinar Harian,
Imbas kembali, kata si abang, mereka baru sahaja bertemu pada Ahad lalu dan beliau tidak melihat sebarang perubahan ketara pada adiknya.
"Bila hari kejadian itu, dapat panggilan kata adik hilang serta dipercayai lemas, kami sekeluarga memang terkejut, sampai sekarang pun masih terkejut, kejadian itu berlaku sekelip mata," katanya.
Menurutnya, Suresh seorang yang rajin, berani dan disenangi sesiapa sahaja yang mengenalinya.
"Dia tak memilih dalam berkawan, memang baik dengan semua orang, selain itu dia juga baik dengan rakan serta anak buahnya ketika bekerja, tak kisah sama ada mereka warga tempatan atau asing.
"Sikapnya juga sebegitu, seorang yang ceria dan periang dalam keluarga, kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Polis banyak beri sokongan moral, Ketua Polis Daerah sebelum ini beri jaminan akan sedaya upaya melakukan usaha mencari dan menyelamat adik saya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, pihak bomba dan pelbagai agensi yang membantu, kami sangat berterima kasih, akhirnya adik ditemukan," katanya.
Terdahulu, mayat seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan kepala air Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu ditemukan di Sungai Kandis, Shah Alam.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian pada jam 5.40 petang Isnin lepas, K Suresh, 37, yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma selepas terperangkap di bawah jambatan.
Seramai 11 pekerja pembinaan lain bagaimanapun berjaya diselamatkan.
Sumber: TikTok, Sinar Harian