BANJIR melanda Pantai Timur tanah air mula meragut nyawa.
Wanita Shamila Suzie, 48, terpaksa melihat ibu tersayang , Siti Gayah Zakaria, 70, dibawa arus depan mata.
Momen pilu itu diceritakan adik lelakinya, Fendy Ahmad Basharuddin, 35.
“Olong (Kak Long) pegang tangan ma, tapi terlepas kerana arus deras sangat,” kongsinya dalam sebak.
Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata, dia sepatutnya keluar bersama ibu dan kakaknya ke rumah bapa saudara mereka di Kampung Batu 7.
Tujuan ke rumah adik kepada ibunya itu adalah kerana rumah mereka di Kampung Manal dibimbangi dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam tadi.
“Dalam jam 3.30 pagi ma mulai kelihatan gelisah, tidak duduk diam.
"Dia takut air, sebab itu bila hujan tanpa henti terus ajak kami pindah ke rumah saudara.
“Kakak dan ma keluar dahulu menaiki kereta, saya menyusul kemudian. Kalau lah saya awal sedikit sampai di lokasi kejadian, sudah tentu ma dapat diselamatkan,” katanya dalam nada sebak.
Menurut Fendy, semasa kejadian kebetulan ada dua lelaki di lokasi. Mereka melambai dan memanggilnya yang baru sampai.
Ujarnya, terkejut melihat kereta kakak di dalam air, dia terus terjun dan menyelamatkan kakaknya yang ketika itu berpaut pada pintu kereta.
“Manakala ma sudah tiada di tempat duduk penumpang dan pintu kereta di bahagian tersebut telah terbuka.
“Kebetulan kedudukan pintu sebelah ma betul-betul berada di bahagian laluan air pada pembetung, arus memang deras ketika itu.
"Kakak beritahu ma ada maklum kakinya kejang dan mereka saling berpegangan tangan, namun terlepas,” katanya.
Fendy memberitahu, ibunya ditemukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tanah Merah kira-kira jam 7 pagi tidak jauh dari lokasi kejadian dan mayatnya tersangkut pada pokok.
Terdahulu, dia memaklumkan, ibunya sebelum ini berada di Kuala Lumpur bersama adik bongsu dan baharu pulang Sabtu lalu.
Ibunya sebelum itu beberapa kali meminta untuk pulang ke rumah di kampung.
“Tidak sangka rupanya ini yang hendak terjadi. Kalau diikutkan 14 Disember ini genap setahun ayah kami meninggal dan hari ini ma pula menyusul.
“Ma seorang ibu yang baik, dia suka puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis,” katanya.
Menurut Fendy, kawasan rumahnya di Kampung Manal sering dinaiki air sekitar 0.6 meter manakala di dalam rumah hanya 0.2 meter setiap kali musim tengkujuh.
Ujarnya, ibunya itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 di sini.
Sinar Harian Online melaporkan seorang warga emas maut dan menjadi korban banjir kedua di negeri ini selepas kereta dinaiki dihanyutkan air deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok di sini pada Rabu.
Siti Gayah ditemukan maut tidak jauh dari lokasi kejadian tersebut.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan II Azhari Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.13 pagi.
Sumber: Sinar Harian