TAHNIAH buat pelawak dan usahawan Shahrol Shiro yang berjaya menamatkan pengajian dalam peringkar diploma profesional baru-baru ini.
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 41 tahun, berkongsi momen bermakna itu melalui akaun Instagramnya, meluahkan rasa syukur atas pencapaian tersebut.
Dalam luahannya, Shahrol turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan-insan penting yang sentiasa menjadi tulang belakang dirinya.
"Alhamdulillah selesai salah satu proses pembelajaran dalam jurusan perniagaan dan pemasaran digital.
"Sungguh bukan mudah jalan yang dilalui ini. Terima kasih ibu, adik-beradik, keluarga dan sahabat.
"Istimewa buat anak-anak dan terutama isteriku Nor Farhanah yang sentiasa memberi sokongan," titipnya.
Memberi bayangan akan menyambung ke peringkat seterusnya, bapa kepada tiga cahaya mata itu dalam masa yang sama tidak melupakan tenaga pengajar atas ilmu yang telah dicurahkan.
"Terima kasih buat pensyarah atas ilmu yang dicurahkan. Semoga ilmu dipelajari dapat dimanfaatkan.
"Insya-ALLAH langkah ini akan diteruskan lagi," kongsinya.
Berita kejayaan itu menerima ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan para peminat.
Rata-rata menjadikan ia inspirasi untuk melanjutkan pelajaran tanpa mengira usia biarpun sudah berkeluarga.