MUSIM banjir bukan sahaja memberi cabaran dalam kehidupan seharian, tetapi juga boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd Ridzwan, banyak penyakit cenderung berlaku ketika musim banjir dan kesedaran tentang langkah pencegahan amat penting.
“Menyentuh soal banjir ini, ia tidak boleh dielakkan. Namun, kita perlu berhati-hati kerana air banjir boleh menjadi punca pelbagai penyakit.
“Antaranya adalah kencing tikus, demam kepialu, taun, cirit-birit dan sebagainya. Semua ini berpunca daripada air yang tercemar dengan bakteria.
“Selain penyakit yang disebabkan air, serangga seperti nyamuk Aedes juga menjadi risiko utama demam denggi apabila tibanya musim banjir.
“Musim banjir juga boleh menyebabkan gatal-gatal kulit, luka mudah dijangkiti, kurap dan banyak lagi. Ini kerana kawasan lembap semasa banjir memudahkan kuman masuk ke kulit,” katanya.
Dr Afif juga menegaskan, tip atau langkah pencegahan penyakit adalah tanggungjawab bersama.
“Kesedaran dan langkah pencegahan adalah kunci. Jangan pandang remeh risiko penyakit semasa banjir, walaupun ia nampak kecil.
“Tidak dinafikan, musim banjir ini sedikit sebanyak menyukarkan kehidupan seharian, terutamanya mangsa banjir yang terlibat dalam proses pemindahan ke pusat pemindahan sementara.
“Apa pun yang berlaku, kesihatan perlu diutamakan. Jaga kebersihan makanan dan masak air dengan sempurna, elakkan air tercemar.
“Selain itu, jika boleh elakkan berkongsi gelas atau pinggan. Ia sebenarnya membantu mengurangkan risiko jangkitan.
“Jika hujan berhenti sekejap, perhatikan kawasan sekeliling dan periksa kawasan yang mungkin ada air bertakung. Pastikan tiada air yang menjadi tempat nyamuk aedes membiak,” tambahnya lagi.