'9 bulan aku kandungkan dia' Ibu pilu anak dinanti 4 tahun didera pengasuh durjana, dicampak dan ditampar!

Iklan

EMPAT tahun menanti kehadiran cahaya mata, namun kebahagiaan seorang ibu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila video memaparkan bayinya didera oleh individu yang sepatutnya menjaga keselamatan mereka tular di media sosial.

Rakaman berdurasi 23 saat dan 22 saat mengundang amarah warganet selain mencetuskan kebimbangan golongan ibu bapa tentang keselamatan anak-anak di pusat penjagaan.

Iklan
Iklan

Ibu berkenaan menerusi akaun Threads @liyanazulkifli, mendakwa bayinya yang baru berusia enam bulan turut menjadi mangsa penderaan fizikal oleh pengasuh taska berkenaan.

“Anak saya baru enam bulan, tak tahu apa-apa.

Iklan

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet, termasuk rasa simpati dan kecaman. Ramai menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terlibat demi menjamin keselamatan kanak-kanak.

Pendedahan tular itu membawa kepada penahanan seorang pengasuh bagi membantu siasatan polis.

Iklan

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, pihaknya menerima tiga laporan polis membabitkan kes penderaan terhadap bayi berusia enam dan sembilan bulan.

Katanya seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengasuh telah ditahan pada 16 Disember lalu bagi membantu siasatan.

“Suspek ditahan untuk siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya.

Aidil turut memaklumkan siasatan awal mendapati hanya seorang suspek terlibat dalam kes berkenaan.

TANDA SI KECIL MUNGKIN DIDERA PENGASUH

Memetik hantaran X Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainol terdapat  enam tanda penting si kecil mungkin telah didera oleh pengasuh atau orang yang dikenali:

1. Mimpi buruk yang berulang

* Kanak-kanak sering mengalami kesukaran untuk tidur lena pada waktu malam.

* Pengalaman atau peristiwa menakutkan yang dialami terus menghantui sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

2. Regresi perkembangan

* Tahap perkembangan kanak-kanak menunjukkan kemerosotan secara mendadak.

Antara contoh:

– Terkencing pada waktu malam

– Takut kepada keadaan gelap

– Mula menghisap ibu jari walaupun sebelum ini tidak pernah berbuat demikian

3. Lampin sentiasa penuh ketika diambil dari tempat asuhan

* Keadaan ini mungkin menunjukkan pengasuh kurang prihatin dan jarang menukar lampin kanak-kanak.

* Tanda lain yang boleh diperhatikan ialah ruam lampin yang berlarutan.

4. Perubahan tingkah laku menjadi lebih memberontak dan impulsif

* Kanak-kanak menjadi kurang sabar dan mudah bertindak tanpa kawalan.

* Tingkah laku ini boleh menjadi mekanisme pertahanan diri selepas mengalami penderaan berulang kali.

5. Menjadi terlalu takut

* Terutama apabila hendak dihantar ke pusat asuhan atau apabila ditinggalkan bersendirian.

6. Menjadi lebih bergantung kepada ibu bapa

* Ibu bapa akan menyedari kanak-kanak menjadi lebih “clingy” daripada kebiasaan dan cenderung mengikuti mereka ke mana sahaja.

Sumber: Sinar Harian, X