Tengku Ampuan Pahang buktikan usia bukan halangan menimba ilmu, sokongan Sultan Pahang buat ramai kagum – ‘Real beauty with brain!’

Iklan

DI sebalik keanggunan diri seorang yang bernama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, tersimpan jiwa pencinta ilmu yang tidak pernah padam.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membuktikan bahawa status dan usia bukan penghalang untuk terus belajar, berkembang dan mencabar diri.

Iklan
Iklan

Keputusan baginda menyambung pengajian di sebuah universiti awam pada penghujung 2024 bukan sahaja mencetuskan rasa kagum, malah menjadi inspirasi gaya hidup berilmu buat wanita dan masyarakat keseluruhannya.

Dalam dunia yang serba pantas, semangat baginda mengimbangi tanggungjawab diraja dan akademik nyata wajar dijadikan teladan.

Iklan

Baru-baru ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan berangkat bercemar duli ke Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kuantan.

Iklan

Lawatan tersebut membawa makna istimewa apabila ia dilihat sebagai tanda sokongan padu terhadap perjalanan akademik Tengku Ampuan Pahang yang kini giat menyiapkan tesis pengajian baginda.

Menurut sumber rasmi Kesultanan Pahang, tesis berjudul The Hukum Kanun Pahang: A Sovereign Malay-Islamic Constitution mencerminkan minat mendalam baginda terhadap perundangan Islam, pemikiran Melayu dan warisan ketamadunan Islam di Alam Melayu, satu bidang yang selari dengan jiwa seni dan intelektual baginda.

Mencuri perhatian ramai, pasangan diraja ini turut dilihat bergurau senda dalam suasana santai sepanjang lawatan tersebut.

Detik-detik kecil penuh makna itu mempamerkan keakraban dan sokongan emosi antara suami isteri, sekali gus menyerlahkan keharmonian institusi diraja Pahang yang sering menjadi perhatian masyarakat.

Turut berangkat mengiringi ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah, menjadikan lawatan itu lebih bermakna dalam suasana kekeluargaan.

Memartabatkan seni dan warisan budaya Melayu

Kini, Tengku Ampuan Pahang bergelar mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mengikuti program Sarjana Master of Arts in Islamic Thought and Civilization di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC-IIUM).

Jadual harian baginda padat, perlu mengimbangi peranan sebagai Permaisuri, isteri, ibu serta tuntutan akademik di peringkat pascasiswazah.

Keberangkatan Sultan Pahang ke MOCA bukan sekadar lawatan rasmi, sebaliknya membawa simbol sokongan moral terhadap perjalanan ilmu Tengku Ampuan Pahang.

Paduka Baginda turut berkenan menyantuni pengunjung muzium, menjadikan lawatan itu sarat dengan nilai seni, budaya dan kasih sayang keluarga.

Selain komited dalam dunia akademik, Tengku Ampuan Pahang juga dikenali sebagai figura yang konsisten memartabatkan seni dan warisan budaya Melayu.

Komitmen tersebut pernah diiktiraf apabila baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Keanggunan, ilmu dan keperibadian, semuanya bersatu dalam diri seorang Permaisuri yang membuktikan bahawa gaya hidup berilmu adalah warisan paling berharga untuk ditinggalkan kepada generasi seterusnya.

Sumber: Facebook Kesultanan Pahang