UPSR dan PT3 mungkin kembali? KPM aktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan

Iklan

ISU peperiksaan bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi menyentuh emosi, harapan dan masa depan anak-anak. 

Bagi ramai ibu bapa, peperiksaan awam pernah menjadi penanda aras penting dalam menilai tahap penguasaan akademik serta kesiapsiagaan anak sebelum melangkah ke fasa pendidikan seterusnya. 

Iklan
Iklan

Justeru, selepas beberapa tahun dimansuhkan, perbincangan mengenai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kembali mencuri perhatian.

Terbaharu, Kementerian Pendidikan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi mengkaji keperluan pelaksanaan semula kedua-dua peperiksaan tersebut.

Iklan

Memetik Bernama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu diambil susulan permintaan sebahagian ibu bapa yang masih melihat UPSR dan PT3 sebagai instrumen penting untuk mengukur pencapaian akademik secara standard, selain membantu mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pembelajaran anak-anak.

Menurut beliau, kajian semula tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dapatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Iklan

Amanat Tahun Baharu

Tambah Fadhlina, kajian yang dijalankan bukan sahaja menilai keberkesanan sistem peperiksaan terdahulu, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan murid, tekanan pembelajaran serta kesediaan guru dan sekolah dalam melaksanakan sebarang perubahan dasar pendidikan pada masa hadapan.

“Laporan kaji selidik dan sebarang dapatan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk diputuskan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan pada Jumaat.

Sekadar makluman, UPSR diperkenalkan sebagai peperiksaan penilaian murid sekolah rendah yang bertujuan mengukur penguasaan asas literasi dan numerasi. Keputusan UPSR turut dijadikan antara rujukan bagi pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh serta program pendidikan khas.

Sementara itu, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pula berfungsi sebagai penilaian di peringkat menengah rendah bagi menilai tahap penguasaan dan kefahaman pelajar sepanjang Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga, sebelum mereka melangkah ke Tingkatan Empat.

Kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan masing-masing pada 2021 dan 2022 sebelum digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menekankan penilaian holistik, perkembangan sahsiah serta pembelajaran berterusan murid.