Atlet renang & badminton lancar kad koleksi emas tulen edisi terhad, jadi simbol perjuangan & disiplin

Iklan

BAGI sesetengah orang, emas sekadar simbol kemewahan.

Namun bagi atlet, setiap kilauannya adalah cerita tentang peluh, disiplin dan pengorbanan yang tidak semua orang mampu lalui.

Iklan
Iklan

Itulah rasa yang cuba diterjemahkan apabila tiga wira sukan negara, pasangan beregu campuran badminton Goh Soon Huat dan Shevon Lai serta perenang Olimpik Welson Sim melancarkan kad koleksi emas tulen edisi terhad yang sarat dengan makna.

Bukan sekadar koleksi biasa, kad emas ini ibarat kapsul masa yang merakam detik penting perjalanan kerjaya atlet-atlet negara.

Iklan

Ia dikeluarkan oleh theCOVER Asia dengan kerjasama Click Entertainment, sebagai inisiatif mengangkat nilai perjuangan sukan ke dalam bentuk gaya hidup dan memorabilia eksklusif.

Majlis pelancaran berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Click Entertainment Sdn Bhd, Tan Yin Loo, menjelaskan kad koleksi emas tulen 999 seberat 0.25 gram itu membawa simbolik ‘memori emas’, satu penghargaan buat peminat selain menjadi item pelaburan bernilai.

Menurutnya, kad koleksi itu dijual pada harga RM360, manakala harga pra-tempahan awal ditawarkan pada RM299 untuk tempoh terhad.

“Ini bukan sekadar kad koleksi, tetapi peluang untuk peminat memiliki sesuatu yang pertama seumpamanya yakni simbol kejayaan wira dan wirati negara,” katanya.

Sebagai pasangan beregu campuran dunia dalam kelompok 10 terbaik dan juga pasangan suami isteri, Soon Huat dan Shevon mengakui pelancaran kad emas ini memberi pengalaman yang cukup istimewa buat mereka.

Refleksi perjalanan

Bagi Soon Huat, sokongan peminat adalah ‘tenaga senyap’ yang mengiringi setiap langkah mereka di gelanggang.

“Kerjaya sebagai atlet bukan hanya soal latihan dan perlawanan. Ia menuntut disiplin tinggi dan ketahanan mental, termasuk di luar gelanggang.

"Kad koleksi emas ini membawa nilai emosi yang besar kerana ia mengingatkan kami kepada sokongan berterusan peminat,” katanya.

Shevon pula melihat pemilikan kad emas ini sebagai refleksi perjalanan mencabar yang penuh jatuh bangun.

“Emas bukan dinilai semata-mata pada harganya. Ia melambangkan proses dan usaha untuk sampai ke tahap ini.

"Setiap kepingan membawa cerita tersendiri,” katanya yang pernah menjuarai empat BWF World Tour Titles di Jerman, Singapura, Switzerland dan Malaysia.

Sementara itu, Welson Sim yang sinonim dengan gelaran ‘Putera Ikan Terbang’ Malaysia turut berkongsi perspektif yang lebih mendalam tentang makna emas dalam dunia sukan.

Bagi atlet Olimpik dan pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter, 200 meter, 400 meter dan 800 meter gaya bebas itu, emas adalah simbol kesabaran dan konsistensi.

“Emas tidak terbentuk dalam sehari. Ia memerlukan masa, sama seperti perjalanan seorang atlet.

"Saya harap pemilik kad ini dapat menghargai nilai di sebalik setiap kepingan,” katanya yang pernah meraih dua pingat emas Sukan SEA pada edisi 2015 dan 2017.