BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bagi pemulihan tulang pinggulnya yang patah.
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff, keadaan terkini negarawan itu memuaskan hati pakar perubatan.
"Pihak perubatan dan doktor pakar buat masa ini berpuas hati dengan tahap kemajuan proses pemulihan dan rawatan yang dijalankan selepas 14 hari beliau dimasukkan ke IJN.
"Bagaimanapun proses pemulihan secara fisioterapi ini tetap dijangka akan mengambil masa yang agak panjang," kongsinya.
Dalam pada itu, menurut kenyataan yang dikongsikan, pemimpin negara berusia 100 tahun itu tidak lupa menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terus menerus bertanyakan akan keadaan kesihatan serta mendoakan agar beliau cepat pulih.
"Pihak keluarga juga ingin memohon maaf kerana atas nasihat pakar perubatan, ziarah terhad hanya kepada keluarga terdekat buat masa ini," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Tun M mula menerima rawatan di IJN selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya sehingga mengalami patah tulang pinggul pada 6 Januari lalu ketika sedang brisk walk.