ANAK eksekutif bank yang maut dibunuh di Alor Setar, Kedah pada Isnin akhirnya selamat ditahan polis malam tadi.
Dipercayai dalam perjalanan ke Selangor, lelaki berusia 28 tahun ditahan pada jam 8.34 malam oleh sepasukan pegawai dan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Suspek berkenaan yang berusia 28 tahun ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian ketika sedang menaiki bas persiaran di Kilometer 441.5 arah selatan, Lebuhraya Utara- Selatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, lelaki berkenaan memiliki satu rekod lampau.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.
Difahamkan, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar dan direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga 9 Februari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nur Shifa Mohd Hamzah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi pemergian tragis Zahrullail Basir, 52, ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman pada bahagian perut dan atas payudara kiri selain cedera di pergelangan tangan.
Disamping itu, terdapat kesan luka di bahagian kepala dan muka selain lebam di bahagian bahu kiri dan atas dahi serta luka di tapak tangan kiri.
Difahamkan, beg tangan milik mangsa yang mengandungi barang kemas, sejumlah wang tunai dan telefon bimbit juga hilang.
Sumber: Sinar Harian