SEBAKNYA! Pempengaruh Beby Tora berkongsi berita gembira selamat bergelar ibu selepas tujuh tahun berusaha untuk hamil (try-to-conceive) atau TTC.
Pemilik nama Nor Atierah Zulfatie Zulkiffli, 29, yang memiliki 658,000 pengikut di Instagram itu berkongsi gembira selamat bersalin cahaya mata perempuan pada Isnin.
"Menangis ibu ayah tengok muka dia dalam bilik bedah tadi. Indahnya ciptaan ALLAH, sedapnya bau bayi," kongsinya.
Memuat naik video suaminya Apit Johari memangku si kecil, Nor Atierah menitipkan syukur akhirnya dikurniakan zuriat sendiri. Pada hari kedua bersalin, Tira berkongsi nama yang dipilih untuk puteri sulungnya.
"Akhirnya selepas enam tahun ada anugerah terindah dalam hidup kami.
"Tira doakan semua yang sedang cuba untuk hamil (TTC) dapat merasai semua ini
"Hari kedua selepas pembedahan, Alhamdulillah. My girl Nur Hayfa Ameena anak ibu ayah," titipnya.
Nor Atierah terdahulu berkongsi sedang hamil ketika kandungan memasuki trimester kedua.
Influencer yang terkenal dengan konten mukbang itu awalnya sudah reda tidak pernah berjaya hamil sepanjang berkahwin.
Namun, dia kemudiannya mendedahkan berbadan dua selepas setahun menjaga pemakanan.
Sekadar rekod, Beby Tora dan Apit berkahwin pada 11 Mac 2019.