PERSONALITI media sosial, Dr Fie Tawfek berharap bekas suaminya, penyanyi Nubhan Ahamad memegang kata-kata untuk berkawan demi kebaikan anak-anak, selain hadir ke mahkamah pada tarikh penting.
"Saya harap kes ini dipermudahkan dan dapat selesai dengan cepat. Saya juga tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak serta berharap semuanya berjalan lancar.
"Saya harap dia berpegang pada ayat itulah," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas prosiding.
Dr Fie turut menjelaskan, tuntutan yang diperjuangkan bukan untuk dirinya semata-mata, sebaliknya demi masa depan tiga anaknya.
Ujarnya, dia sudah lama 'move on' dan keutamaannya kini adalah untuk memastikan anak-anaknya hidup dalam keadaan baik.
"Ini kerana saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada saya pada masa hadapan," katanya.
Ditanya bagaimana penerimaan anak-anak tinggal di rumah baharu, Dr Fie berkata, mereka menerimanya dengan baik dan yang penting ia selesa.
"Alhamdulillah, saya sudah berpindah ke rumah baharu dan sebab itulah saya harap semuanya selesai dengan cepat," katanya.
Dr Fie atau nama penuhnya Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, terdahulu hadir Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bersama ibu bapa dan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kadir dan Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.
Mahkamah menetapkan sehingga 24 Februari ini untuk Nubhan memasukkan pembelaan terhadap tuntutan saman harta sepencarian yang difailkan.
Ia susulan kegagalan pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-12 berkenaan hadir dalam proses sulh pada 8 Januari lalu.
Bagaimanapun, Nubhan,40, sekali lagi tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Mohd Redzuan Ramli, bagi menetapkan tarikh selanjutnya berhubung tuntutan saman tersebut.
Menurut Akberdin, pihaknya telah membuat serahan saman kepada penyanyi tersebut pada 19 Januari lalu.
"Proses sulh tempoh hari tidak berjaya dan disebabkan itu mahkamah arahkan kita serahkan saman dan hari ini di hadapan pendaftar mahkamah, kita telah maklumkan mengenainya.
"Pihak defenden juga hadir, mereka beritahu nak masukkan pembelaan dan mahkamah telah tetapkan tarikh untuk masukkan pembelaan itu sebelum atau pada 24 Februari ini," katanya.
Imbas kembali 2 Mac tahun lalu, Nubhan dan Dr Fie sah bercerai bercerai talak dua, dengan lafaz talak pertama berlaku pada 2017 dan talak kedua pada Ogos 2025 selepas 10 tahun berumah tangga.
Daripada perkahwinan itu, Dr Fie dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4.
Sumber: Sinar Harian