PERSONALITI media sosial, Abdul Rani Kulup Abdullah kini ditidurkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas disahkan mengalami jangkitan bakteria pada paru-paru.
Memetik mStar, Mejar (B) Razali Zakaria, Abdul Rani, 71, dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan kira-kira jam 5 petang Selasa sebelum pihak hospital mengambil keputusan untuk menidurkannya bagi tujuan rawatan.
"Saya sempat buat panggilan video bersama dia sebelum prosedur tersebut dijalankan. Dalam perbualan tu, dia memaklumkan akan ditidurkan.
"Pukul 1 tengah hari tadi saya ada melawat, dia masih tidak sedarkan diri dan pihak hospital maklumkan keadaannya semakin stabil," kongsinya.
Razali mendedahkan, Abdul Rani mengalami masalah kesihatan sejak Januari namun menjalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga walaupun berkerusi roda.
Terdahulu, Razali berkongsi keadaan Abdul Rani menerusi hantaran di Facebook.
"Marilah kita berdoa kepada sahabat kita yang baik ini telah ditidurkan di (HCTM)."Ya ALLAH, kurniakanlah kesembuhan buat sahabatku Abdul Rani Bin Kulup Abdullah. Angkatlah kesakitannya, permudahkanlah segala urusan rawatannya, dan kembalikanlah kekuatannya seperti sediakala. Amin," kongsinya.
Abdul Rani diberi jolokan 'Raja Report Malaysia' dan terkenal dengan tagline Kipidab! Dongibab!.
Mesra digelar ayahanda, Abdul Rani sering muncul di televisyen setelah membuat banyak laporan polis mengenai isu semasa sejak 2011.
Dia juga berbakat dalam bidang muzik dan pernah menganggotai kumpulan Sometimes dan pernah terbabit dalam dunia lakonan menerusi filem Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi.
Abdul Rani pernah bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, menunjukkan pengaruhnya melangkaui sekadar hiburan digital.
Sumber: mStar, Facebook