TRAGIS! Penemuan mayat wanita dipercayai dikerat di Taman Indah Permai, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah mengejutkan penduduk setempat dan menggemparkan negara.
Melampaui batas kemanusiaan dan menyayat hati, itu yang boleh diungkapkan dengan perbuatan tersebut.
Tidak hanya anggota tubuh diceraikan kepada beberapa bahagian, malah ia dibuang di beberapa lokasi membuatkan ia terlalu kejam.
Apa motif pelaku dan bagaimana ia ditemukan? Berikut kronologi penemuan yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa setakat ini:
1-Pekerja lori sampah yang mahu mengangkat sampah di kawasan Taman Indah Permai, dikejutkan dengan penemuan mayat tidak sempurna, dipercayai dipotong-potong di tempat pembuangan sampah, kira-kira jam 6.30 pagi Khamis.
2-Ia berlaku ketika pekerja lori sampah sedang menjalankan kerja rutin memasukkan sampah ke dalam lori dari pusat pembuangan sampah berhampiran tempat letak kereta.
3-Penemuan pertama melibatkan satu tangan manusia bermula dari tapak tangan hingga ke pangkal bahu dan kaki, tapak kaki hingga ke pangkal paha ditemui pekerja kutipan sampah. Difahamkan, anggota badan manusia itu tiba-tiba terjatuh dari tong sampah ketika pekerja terbabit mahu memasukkan sampah ke dalam lori.
4-Anggota badan manusia itu dipercayai dipotong, dibalut atau dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam sebelum dibuang ke tong sampah.
5-Polis bersama pekerja kutipan sampah kemudian cuba mencari anggota badan lain di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran, selain menyelongkar semula sampah yang sudah dimasukkan ke dalam lori.
6-Pada jam 11.40 pagi Khamis, bahagian kepala dan badan pula ditemukan. Kedua-dua anggota berkenaan ditemukan di tempat pembuangan sampah lain.
7-Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari tadi sebelah lagi tangan dan kaki belum ditemui, manakala polis masih menjalankan siasatan dan pencarian berhubung penemuan anggota manusia itu.
Sementara itu, menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes bunuh selepas penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal.
"Pusat Kawalan Polis menerima maklumat awal berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 8.00 pagi, 12 Februari 2026. Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah dan di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai. Kesemua bahagian yang dijumpai dipercayai milik seorang mangsa yang sama.
"Identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat.
"Pasukan Forensik PDRM Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) serta Unit Anjing Pengesan (K9) telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan," katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh tersebut dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan.
"Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, modus operandi kejadian serta individu yang terlibat.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada 13 Februari 2026 jam 8.30 pagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Rahman di talian +60 12-310 6882 atau menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222. Segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian, Polis Kota Kinabalu