TULAR insiden MPV remuk dihempap pokok tumbang di Seksyen 7 Shah Alam sehingga menggemparkan tanah air.
Kejadian berlaku di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin rupanya melibatkan dua warga pendidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM),Prof Datuk Dr Shahrin Sahib menerusi hantaran laman sosial mengesahkan dua pensyarahnya, Dr Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK), UiTM Shah Alam adalah mangsa yang terlibat.
"Dimaklumkan bahawa dua orang pensyarah telah ditimpa musibah pada tengah hari ini, 16 Februari 2026, apabila kenderaan yang dinaiki mereka telah ditimpa oleh sebatang pokok tumbang di hadapan Apartment Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam.
"Sehubungan itu, mohon sama-sama kita mendoakan keselamatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan buat kedua-dua pensyarah ini," kongsinya.
Artikel berkaitan:
Menurut Sinar Harian, Nur Shahidah mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala manakala Shareena Fairuz mengalami cedera pada bahagian pinggang.
Warganet mendoakan agar kedua-dua pensyarah wanita ini segera diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
"Semoga diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan, aamiin."
"Semoga kedua-dua pensyarah ini sembuh segera."
"Madam Shareena, SUV research project saya tu, Allahu."