PENGACARA dan wartawan penyiaran terkenal Dang Suria Zainurdin dilaporkan sah bergelar isteri kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Malek Rahman.
Memetik Gempak, personaliti televisyen itu melangsungkan ijab kabulnya pada Sabtu dan beberapa keping foto memaparkan pasangan pengantin dikongsikan Malek menerusi akaun Threads.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan usia untuk kembali merasai nikmat perkahwinan.
"Semoga ikatan cinta dua hati ini kekal sehingga jannah. Doakan kebahagiaan ini berkekalan hingga akhir hayat. Malek Rahman sudah 'off market'," tulis Malek.
Menerusi hantaran yang sama,Malek, 56, juga berkongsi menyerahkan RM7,000 kepada Dang Suria, 54, sebagai mas kahwin.
Namun setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada Dang Suri berhubung perkahwinan ini sebaliknya berkongsi hantaran memohon doa kebahagiaan keluarga daripada warga maya.
"Bismillahirrahmannir rahim. Dipimpin dalam doa dan dipertemukan dalam tenang.
"Dalam sujud, kami berserah.
"Mohon doakan kebahagiaan untuk kami dan anak-anak," kongsinya.
Untuk rekod, Dang Suria pernah menikah dengan pengulas sukan, Abu Bakar Atan dan penulis lirik, Ad Samad.